Penjarakan Sosial Guna Payung

Guna Payung, Langkah Kreatif Kerala Bagi Pastikan Penjarakan Sosial

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

India, antara negara yang melakukan pelbagai pendekatan unik dan kreatif dalam mencegah serta memberi kesedaran kepada penduduknya terhadap pandemik COVID-19.

Sedia maklum, masyarakat hampir setiap negara disaran untuk mengamalkan penjarakan sosial dan duduk di rumah bagi mengekang pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, pendekatan yang dilakukan terhadap penduduk di sebuah kampung di Kerala, India, mereka disarankan untuk menggunakan payung sebagai kaedah penjarakan sosial bagi mencegah jangkitan koronavirus selain penutup hidung dan mulut serta cecair pembasmi kuman.

Idea kreatif itu diperkenalkan badan kerajaan tempatan kampung Thanneermukkom di Kerala dan merupakan inisiatif Menteri Kewangan negeri T.M. Thomas Isaac. Katanya, apabila payung dibuka, ia akan memaksa orang lain untuk menjarakkan diri sekurang-sekurangnya satu meter daripada payung tersebut.

“Dua payung yang dibuka, tidak saling bersentuhan, akan memastikan jarak minimum satu meter antara satu sama lain,” tulisnya di Twitter.

Presiden Thanneermukkom, P.S. Jyothis berkata, “Payung digunakan sebagai perlindungan terhadap hujan dan matahari. Panchayat mempunyai populasi 50,000 orang. Kami telah mendesak penduduk kami untuk menjadikannya kebiasaan menggunakan payung untuk mengekalkan penjarakan sosial.”

Badan kerajaan itu turut memberi subsidi bagi penjualan payung di kedai-kedai koperasi serta menawarkan pelan pembayaran secara beransur bagi mereka yang tidak mampu.

Penjarakan Sosial Guna Payung

Menurut laporan media tempatan, badan kerajaan itu akan mengedarkan sekurang-kurangnya 10,000 payung kepada penduduknya sebagai sebahagian daripada projek ‘Break the Chain Umbrella’ dengan penawaran subsidi tersebut.

Manakala bagi mereka yang tidak dapat membeli payung walaupun dengan harga subsidi, mereka boleh mendapatkannya melalui tajaan.

Teknik mengekang penularan COVID-19 di Kerala mendapat pujian dan perhatian daripada media antarabangsa.

Kerajaan Kerala bertekad mengambil langkah-langkah proaktif sejak kes koronavirus pertama dikesan di negeri itu pada 30 Januari apabila seorang pelajar bidang perubatan pulang dari Wuhan, China.

Berbanding negeri lain, Kerala yang dipimpin Parti Komunis India memiliki pembangunan sosioekonomi yang kukuh termasuk infrastruktur kesihatan yang mampu menampung jumlah pesakit yang tinggi.

Secara keseluruhan, India merekodkan 26,917 kes positif dan 826 angka kematian akibat COVID-19 setakat Ahad.

Sumber: Khaleejtimes