
“Grandpa Kitchen Versi Malaysia”, YouTuber ‘Tokwan Kami’ Kongsi Resipi Sambil Bersedekah
YouTuber ‘Tokwan Kami’ Kongsi Resipi Sambil Bersedekah.
Dalam mengecapi zaman internet ini, kita dapat menyaksikan ramai menonjolkan bakat atau berkongsi hobi menerusi pelbagai platform media sosial tidak kiralah sama ada hanya sekadar hiburan mahupun untuk menjana pendapatan.
Bagi mereka yang sering melayari saluran masakan di YouTube, pasti mengetahui antara YouTuber masakan popular sama ada di peringkat global mahupun tempatan.
Dikatakan kemunculan YouTuber baharu dengan nama ‘Tokwan Kami’ disifatkan bakal mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.
Kelainan yang dipaparkan video seorang lelaki dipanggil ‘Tok Wan’ memasak dalam kuantiti banyak sebelum disedekahkan kepada orang ramai seperti rumah anak yatim itulah berjaya meraih tontonan mencecah 1.2 juta kali.
Pelbagai masakan tempatan yang dikongsikan Tok Wan seperti menu lemang rebus, mi kari, gulai kawah kenduri, kurma ayam, dan bihun sup dalam kuantiti yang banyak berjaya mencuri tumpuan orang ramai.
Grandpa Kitchen versi Malaysia
Malahan, konsepnya itu ada yang menyifatkan ia menyerupai video YouTube popular dari India iaitu ‘Grandpa Kitchen’ kerana memaparkan video masakan di tempat terbuka.
Saluran Youtube itu bukan sahaja terkenal di India, bahkan seluruh dunia kerana diakhir masakan dalam kuantiti yang banyak akan diberikan kepada anak-anak yatim.
Walaupun pengasas asalnya iaitu Narayana Reddy sudahpun meninggal dunia pada penghujung 2019, legasi dan usahanya memasak dengan kuantiti banyak untuk orang yang memerlukan kini disambung oleh cucu-cucunya.
Difahamkan, saluran Tokwan Kami sudah berada dalam YouTube sejak 2012 namun dilihat semakin aktif memuat naik video masakan dan resipi sejak penghujung tahun lalu.
Jika Grandpa Kitchen terkenal dengan slogan ‘Loving, Caring, Sharing. This is my family’, YouTuber Tokwan Kami terkenal dengan moto ‘Kongsi Rezeki’ yang turut berkongsi maklumat seperti akaun bank dan nombor telefon untuk mereka yang ingin menghulurkan bantuan kepada anak-anak yatim tersebut.
Sementara itu, orang ramai menyifatkan akaun itu bakal menjadi kegemaran rakyat Malaysia selepas ini seperti yang diraih YouTuber popular termasuklah Sugu Pavitra dan Che Nom.
“Suka tengok Tokwan masak. Nampak sedap. Tambahan dia bagi anak-anak yatim makan.”
“Nampak keikhlasan masa Tokwan masak tu. Pilih mangga yang cantik. Durian pun elok isinya. Rebus mihun pun bila tak kuning mihun tu, rebus lagi.”
“Semoga murah rezeki Tokwan. Moh kita support channel yang bagi manfaat dalam berhibur.”
Setakat ini, Tokwan Kami telah memuat naik sebanyak 37 video selain dilanggan lebih 40,000 pengguna YouTube.