
Golongan Liberal Dan Murtad Makin Berani, Kerajaan Cadang Perketat Kandungan Media Sosial
Media sosial antara tempat strategik golongan liberal dan murtad mempromosi liberalisme dengan pandangan bebas, berani dan terbuka.
Muncul pandangan yang perjuangkan kebebasan mutlak, keluar dari lunas-lunas agama, tidak menyokong undang-undang syariah, mempertikaikan peraturan Islam, mahkamah syariah dan autoriti agama di Malaysia.
Pandangan ini telah mencairkan identiti Islam dengan mencampur adukkan dengan
pemikiran mengikut kerangka Barat sebagai asas pemikiran.
Berikutan itu, kerajaan sedang memperhalusi cadangan untuk memperketat kandungan yang dimuat naik di laman media sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam, khususnya membabitkan pandangan golongan liberal dan murtad.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata bagi tujuan itu, pihaknya sedia bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Kita telah berbincang tapi untuk perkara itu, kita perlu lebih tepat lagi dan mengadakan perjumpaan lebih kerap untuk memperhalusi pelbagai isu dan sudut-sudut lain mengenai perkara ini,” katanya.
Sedia adakan sesi dialog
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata pihaknya juga bersedia mengadakan sesi dialog dan berbincang secara harmoni dengan golongan liberalisme dan murtad agar masing-masing lebih memahami serta menghormati antara satu sama lain.
“Insya-Allah kita akan cuba mengemukakan sebuah jawapan apa-apa yang berkaitan dengan kekeliruan tentang Islam selain memberi pencerahan dan penerangan kepada masyarakat. Apa-apa kemusykilan, insya-Allah kita akan jawab,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas berkenaan isu berkaitan golongan liberal dan murtad yang semakin berani mengeluarkan pendapat bertentangan dengan Islam di laman media sosial.
Sementara itu, Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 akan dibentangkan mengikut tertib dan kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Kata Dr Zulkifli, pindaan Akta 355 akan dibentangkan bila tiba masa yang sesuai, selepas setiap proses penggubalannya dilaksanakan mengikut lunas perundangan.
“Saya berharap, insya-Allah ia (pindaan RUU 355) akan dapat direalisasikan sebelum daripada saya mati,” katanya.
Sumber: BH