Golongan Belia Kena Rebut Peluang, Buat Duit Dengan Ceburi Kerjaya E-sukan

e-sukan belia Malaysia

Golongan Belia Kena Rebut Peluang Ceburi Kerjaya E-sukan.

Malaysia baru sahaja keluar daripada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menghadapi fasa baharu pasca-COVID-19.

Malangnya sehingga kini, masih belum ada vaksin bagi merawat pandemik yang yang mampu membunuh ini.

Namun, di sudut positifnya, COVID-19 dilihat menjadi game changer yang mempercepatkan proses pendigitalan kehidupan seperti pengendalian mesyuarat atas talian, penganjuran seminar yang dikenali sebagai webinar secara dalam talian, penggunaan e-dompet hatta majlis tahlil pun dilihat diadakan secara dalam talian.

Penggunaan platform digital untuk perniagaan juga turut meningkat sepanjang tempoh PKP. Daripada sekadar menggunakan platform digital untuk berkomunikasi, generasi muda memanfaatkannya untuk menjana pendapatan.

Satu arena yang mempunyai khalayak belia yang agak ramai dalam dunia digital dan mampu menjana pendapatan yang lumayan ialah sukan eletronik atau e-sukan (e-sport).

Memetik laporan yang ditulis oleh Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha menyifatkan E-sukan menjadikan kegilaan generasi Z dengan pelbagai game seperti Mobile Legend, Starcraft, Counter Strike, Dota dan Fifa.

E-sukan bukan sekadar memenuhi masa lapang tetapi sudah memasuki era profesionalisme iaitu menjadi suatu kerjaya.

e-sukan belia Malaysia

E-sukan makin popular

Di Malaysia, walaupun sedikit lewat, e-sukan menjadi semakin popular dan diiktiraf oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Lokasi yang strategik, terletak di tengah-tengah Asia Tenggara dan kadar pertumbuhan pasaran yang tinggi membuatkan Malaysia sesuai menjadi hub bagi e-sukan.

“Asia Tenggara menjadi lokasi tarikan untuk pembangunan e-sukan. Itu sebab kerajaan teruja untuk membangunkan sektor ini, teruja untuk pastikan wilayah dapat manfaat daripada sektor ini dan pastikan belia ambil bahagian dalam sektor ini,” ujar Naib Presiden MDEC, Hasnul Hadi Samsudin.

E-sukan diyakini mempunyai masa depan yang cerah dan mampu menjadi pilihan kerjaya, peningkatan kemahiran dan keusahawanan bagi memberikan pilihan kepada belia menceburinya semasa ataupun pasca-COVID-19.

Justeru, Jawatankuasa Tindakan Ekonomi Belia MBM (JAKTEM) mencadangkan agar belia menerokai dan merebut peluang yang ditawarkan e-sukan.

Siapa tahu e-sukan mungkin pada satu hari nanti akan menyumbangkan pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik.

Sumber: Sinar Plus