Notis MPAJ

Gesa Struktur Tambahan Dibuka Dalam Masa Yang Ditetapkan, MPAJ Keluarkan 62 Lagi Notis Amaran

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Susulan dari tindakan penguatkuasaan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) terhadap binaan struktur tambahan sebuah unit flat yang tular pada 25 Mei lalu, sebanyak 62 lagi notis terhadap pemilik unit yang melakukan ubah suai dan membina struktur tambahan tanpa kebenaran telah dikeluarkan.

Menurut Sinar Harian, Notis 72(1) Akta Jalan, Parit & Bangunan (Akta 133) yang dikeluarkan oleh Jabatan Bangunan dan Senibina serta Jabatan Penguat Kuasa MPAJ tersebut dibuat menerusi rondaan dan pemantauan yang dijalankan pada 1 Jun lalu.

Pegawai Perhubungan Awam MPAJ Norhayati Ahmad berkata, ubah suai dan tambahan struktur itu melanggar syarat hak milik bersama Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan syarat tanah hak negeri.

Selain dari perlu membuka struktur tambahan yang dibina, MPAJ turut menegaskan bahawa kosnya juga perlu ditanggung sepenuhnya oleh pemilik.

Menurutnya lagi, sekiranya masa yang telah ditetapkan tidak dapat dipatuhi oleh pemilik, tindakan seterusnya akan diambil oleh pihak MPAJ.

“Kesemua unit berkenaan perlu membuka struktur tambahan yang telah dibina dalam masa yang ditetapkan dan kos adalah atas tanggungan pemilik sepenuhnya, sebelum tindakan lanjut akan diambil oleh pihak MPAJ,” jelasnya dalam satu kenyataan.

“MPAJ ingin menegaskan bahawa tindakan mengubah suai struktur sedia ada atau menambah struktur binaan di bahagian tepi dan belakang kediaman berstrata seperti flat, pangsapuri dan kondominium adalah satu kesalahan dan tidak dibenarkan,” tambahnya lagi.

Sementara itu, dalam satu laporan berbeza oleh The Star pula, dikhabarkan kira-kira 100 penduduk telah memohon supaya penguatkuasaan tersebut ditangguhkan.

Pendedahan tersebut dibuat oleh Ahli Majlis MPAJ, Anfaal Saari yang menjelaskan antara rayuan penduduk yang diterimanya memberi alasan bahawa keluasan unit dua bilik yang dibina pada tahun 1980-an itu adalah sempit.

Notis MPAJ

BACA: Contoh-Contoh Binaan Haram Rumah Flat Yang Tidak Terkawal Pada Hari Ini

Sumber: astro AWANI