
Genting Beli Kapal Persiaran Mewah Equanimity Pada Harga RM514 Juta
Kapal persiaran mewah Equanimity yang dikaitkan dengan skandal 1MDB dijual kepada syarikat tujuan khas (SPV), Genting Malaysia Bhd pada harga AS$126 juta (RM514 juta).
Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, Mahkamah Admiralti di Kuala Lumpur meluluskan tawaran Genting untuk membeli Equanimity mengikut terma dan syarat Sherif.
“Ini bakal menjadi jumlah pemulihan daripada skandal 1MDB yang tertinggi setakat ini untuk kerajaan Malaysia dalam masa cuma 8 bulan dari tarikh tindakan ini dimulakan.”

RM514 juta ialah tawaran terbaik yang diterima dalam 5 bulan, sejak kerajaan mengumumkan penjualan Equanimity pada Oktober tahun lalu.
Menurut Thomas, banyak tawaran diterima sepanjang tempoh itu, tetapi hanya sebilangan kecil tawaran melebihi AS$100 juta, dengan Genting menawarkan harga yang tertinggi.
Walaupun penjualan Equanimity itu gagal mencapai harga pasaran AS$130 juta berdasarkan penilaian Winterbotham, namun pulangan bersih diperolehi Putrajaya adalah yang terbaik dan lebih tinggi daripada jangkaan kerajaan.
Equanimity dilaporkan dibina khas untuk ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho pada 2014 pada harga AS$250 juta (kira-kira RM1 bilion) disita di Bali, Indonesia, Februari 2018 atas permintaan pihak berkuasa Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah Jabatan Kehakiman AS terhadap skandal 1MDB.
Ia kemudiannya diserahkan kepada kerajaan Malaysia kerana dikaitkan dengan skandal rasuah 1MDB, pada Ogos 2018.
Dengan penjualan tersebut, ia menjadi perolehan semula terbesar dicatatkan kerajaan daripada usaha Putrajaya mendapatkan kembali wang yang dikaitkan dengan skandal 1MDB sejak langkah itu dimulakan lapan bulan lalu.
Sumber: Malaysia Kini
Trending now



