chemtrail

Geng Teori Konspirasi Kalau Nampak, Mesti Ambil Gambar Dan Buat Posting. Betul Ke Benda Ni Bahaya?

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Segelintir golongan teori konspirasi beranggapan kapal terbang dengan sengaja menyembur “chemtrails” yang terdiri daripada bahan kimia berbahaya. Walhal perkara ini adalah mitos semata-mata.

Jadi, apakah dia jalur awan yang mengekori kapal terbang itu?

Perkara ini diulas jelas oleh Zamir Mohyedin. Beliau adalah antara yang berani memperbetulkan fakta dan teori sains yang tidak tepat yang disampaikan oleh orang lain. Mari kita ikuti ulasan beliau

Ada orang panggil jejak-kimia (chemtrail), ada orang panggil jejak-meluwap (contrail). Saintis panggil contrail. Kenapa?

Contrail terbentuk hasil daripada ekzos (exhaust) kapal terbang ataupun jet. Hidrokarbon merupakan ramuan utama bahan bakar, bukan sahaja untuk kapal terbang tetapi juga kenderaan darat seperti kereta dan motosikal walaupun kereta guna gasolin dan kapal terbang guna kerosin.

Minyak yang kita gunakan (terdiri daripada molekul-molekul hidrokarbon) untuk hidupkan enjin sebenarnya dibakar dengan campuran udara. Produk utama yang banyak terhasil daripada tindakbalas ini ialah haba, karbon dioksida dan wap air.

Amnya, asap-asap kereta, motor dan kapal terbang lepaskan bahan-bahan ini (haba, karbon dioksida dan air) walaupun komposisi bahan bakarnya sedikit berbeza. Tetapi kenapa asap kereta tidak menghasilkan jejak (trail) seperti jet/kapal terbang?

chemtrail

Sebab suhu.

Semakin tinggi kita naik, suhu semakin sejuk. Kapal terbang/jet biasanya terbang pada jarak 9 hingga 11 kilometer dari permukaan Bumi. Suhu pada altitud ini berada pada -30 hingga -50 darjah Celsius. Iya, sangat sejuk.

Suhu ini sebenarnya menyebabkan wap air memeluwap (condense), seterusnya wap bertukar menjadi air dalam bentuk cecair ataupun pepejal (ais). Sebab itulah saintis namakan “contrail”. “Con” berasal daripada perkataan “condense”. Tindak balas ini berlaku apabila bahan panas bertembung dengan persekitaran sejuk.

Kita dapat perhatikan proses ini di persekitaran kita sendiri. Kalau pernah pergi ke negara sejuk, nafas kita sendiri pun akan hasilkan kepulan asap daripada mulut. Kepulan itu terbentuk kerana nafas kita panas bertembung dengan persekitaran sejuk.

Proses yang sama juga berlaku pada pembentukan awan. Awan terbentuk daripada pemeluwapan wap air yang terhasil daripada laut.

Ada sesetengah kapal terbang tidak menghasilkan contrail, ada sesetengah contrail pula cepat hilang. Ini semua bergantung pada cuaca, suhu dan setinggi mana ia terbang. Kalau cuaca panas, contrail susah nak terhasil dan cepat pula hilang. Sebab itu ramai dakwa sering nampak contrail pada waktu pagi. Kalau terbang rendah sangat pun, contrail tidak terhasil.

Contrail tidak berupaya memanipulasi ataupun mengubah cuaca seperti yang digembar-gemburkan. Contrail juga tidak menabur baja virus/bakteria untuk membunuh manusia. Jika kita bimbang dengan contrail, kita perlu bimbang juga dengan asap kereta dan motosikal.

BACA: Wabak Koronavirus: Benarkah Ia Konspirasi Terancang Sejak 200 Tahun Lalu?

Sumber: Zamir Mohyedin