Geng Plastik Hitam

Geng Plastik Hitam Kini Lebih Licik, Guna Taktik Baharu Untuk Ponteng Puasa

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Kaki ponteng puasa atau geng plastik hitam kini dikatakan menggunakan taktik licik bagi mengelak diri dari ‘kantoi’ kerana tak puasa.

Seolah-olah bangga melakukan kemungkaran, mereka sebelum ini dikatakan sanggup berpura-pura dan mengaku bukan beragama Islam semata-mata untuk ‘tapau’ makanan.

Menghairankan kerana tidak wujud langsung perasaan malu dalam diri mereka sedangkan kanak-kanak seawal usia 6 tahun macam Upin dan Ipin pada hari ini pun boleh berpuasa penuh.

Didapati geng plastik hitam memang mula aktif dan selamba beli makanan seawal pukul 11 pagi lagi, namun menurut beberapa pengusaha kedai makan, kini terdapat beberapa taktik lagi yang mereka gunakan.

Menurut laporan KOSMO! ONLINE, kini mereka merasakan diri lebih ‘selamat’ kerana wujudnya kemudahan perkhidmatan penghantar makanan.

Selain itu, pada waktu ini pemakaian pelitup muka masih lagi diwajibkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) kerajaan, maka hampir pasti mereka juga ‘terlepas’ kerana wajah mereka tidak dapat dikenali.

Taktik cilik geng plastik hitam ini menjadi satu masalah dan rata-rata pengusaha restoran dikatakan tidak mampu membuat apa-apa apabila mereka ini muncul untuk membeli makanan pada waktu yang mencurigakan.

Seorang pengusaha nasi kandar, Abdul Rahim, 45, memang terdapat beberapa individu yang disyaki tidak berpuasa datang ke restoran miliknya untuk membungkus makanan.

“Saya hanya menganggap golongan ini sebagai bukan Islam dan bersangka baik bahawa mereka datang membeli makanan untuk berbuka,” jelasnya.

Seorang pekerja sebuah restoran nasi kukus, Mohideen Ibrahim, 36, pula berkata, kedainya menjadi tumpuan golongan ini sekitar pukul 2 hingga 3 petang.

Menurut Nadia Roslan, 32, yang mengusahakan sebuah kedai makan di Kampung Baru pula, sekarang ini sudah agak jarang mereka turun untuk membungkus makanan kerana ramai kini mengubah taktik dengan menggunakan perkhidmatan penghantar makanan.

Ini disedari olehnya apabila ramai di antara pelanggan-pelanggan yang memesan makanan pada waktu tengah hari tersebut adalah dari mereka yang mempunyai nama lelaki Islam.

Seorang pelajar lelaki berumur 23 tahun dari sebuah institusi pengajian tempatan pula mengaku kepada KOSMO! ONLINE, “Kebiasaannya ketika bulan puasa, saya dan rakan akan membeli fast food kerana lebih mudah selain menggunakan perkhidmatan penghantar makanan.”

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, geng plastik hitam diberi amaran bakal berdepan hukuman setimpal sekiranya ditangkap.

Tindakan yang sama juga akan diambil ke atas peniaga yang menjual makanan kepada orang Islam pada waktu siang.

Geng Plastik Hitam

Sumber: KOSMO! ONLINE, Sinar Harian