
Geng Ala-Ala ‘Fast & Furious’ Tumpas Dalam Operasi Sekatan Jalan Raya Polis
Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur telah mengadakan Operasi Halangan dan Samseng Jalanan pada 3 dan 4 Disember yang lalu untuk membanteras aktiviti samseng jalanan dan ubah suai kenderaan berlebihan ala-ala filem aksi ‘Fast & Furious’.
Wartawan Nurul Izzati Zaini dari Kosmo! melaporkan, dalam operasi tersebut, sebanyak 35 buah kereta dan 10 buah motosikal telah disita dan sebanyak 397 saman turut dikeluarkan.
Menurut Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman, kenderaan-kenderaan terbabit telah disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Operasi yang dijalankan itu bermula pukul 2 pagi dan berakhir kira-kira pukul 4 pagi sekitar Kuala Lumpur melibatkan seramai 114 pegawai polis.
“Kenderaan yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta diarahkan mengubah ke struktur asal sebelum dikembalikan kepada pemilik kenderaan,” jelasnya.
Menurutnya lagi, tiga tangkapan terhadap penunggang motosikal berusia lingkungan 15 hingga 19 tahun turut dibuat dalam operasi tersebut.
Mereka ditangkap kerana didapati menunggang dalam keadaan merbahaya dan melakukan aksi zig-zag, roket dan superman serta bersaing di atas Lebuhraya DUKE.
Kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Trafik, Kuala Lumpur dan akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987.
“JSPT Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi di hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya,” tambahnya lagi.
Laporan akhbar itu juga turut memaparkan foto kereta-kereta yang diubah suai dan disita dalam operasi tersebut seperti yang dikongsikan oleh JSPT.
Namun, tiada penampakan ‘Dominic Toretto’ yang dapat dikesan.
BACA: Aksi Polis Tendang Motosikal Cuba Lari Daripada Sekatan Jalan Raya Undang Pelbagai Reaksi
Sumber: Kosmo!