Gempa Bumi Turkiye

Gempa Bumi Turkiye: Doktor Malaysia Kongsi Detik Cemas, Tidak Dapat Pulang Ke Rumah

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Seorang doktor warga Malaysia, Dr Syazwan Abu Bakar, 34, yang sedang bertugas di sebuah hospital di bandar Gaziantep, Turkiye antara kawasan paling teruk terjejas akibat gempa bumi bermagnitud 7.8 pada Isnin lalu telah menceritakan situasi cemas yang dilaluinya ketika itu kepada agensi berita tempatan.

“Ramai mangsa yang datang ke hospital selepas dibawa keluar daripada timbunan bangunan dalam keadaan patah kaki, ada yang mengalami pendarahan otak dan ada juga yang sampai dalam keadaan tidak bernyawa,” jelas beliau.

Beliau dan petugas hospital yang lain terpaksa berlari keluar untuk menyelamatkan diri setiap kali gempa susulan berlaku yang turut menyebabkan keretakan pada bangunan.

“Ketika gempa pertama berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi, saya ‘on-call’ dan sedang berehat. Saya lari keluar dan kemudian saya naik semula untuk tengok pesakit.

“Ketika gempa kedua berlaku pada tengah hari, saya lari keluar bangunan sekali lagi dan selepas itu bertugas di unit kecemasan,” tambah beliau.

Beliau turut mengenali lima lagi rakyat Malaysia yang menetap di Gaziantep dengan dua daripada mereka juga bertugas sebagai doktor tetapi masih tidak mengetahui nasib mereka berikutan kesibukan merawat mangsa gempa bumi.

“Pagi tadi ada orang kedutaan telefon saya tetapi ketika itu saya agak sibuk, saya cuma beri nombor telefon dua lagi rakyat Malaysia di sini,” jelas beliau lagi.

Dr Syazwan yang tinggal seorang diri berkata keluarganya menetap di daerah lain sejauh tiga jam perjalanan dari Gaziantep.

Beliau juga masih tidak dapat pulang ke rumah berikutan bangunan rumahnya turut mengalami keretakan dan berkemungkinan akan dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat.

“Rumah keluarga saya di sana juga retak jadi mereka akan berpindah ke kawasan di sebelah barat yang lebih selamat,” tambah Dr Syazwan.

Sekurang-kurangnya 2,921 orang terbunuh dan 15,834 lagi cedera selepas gempa bumi kuat berukuran 7.8 magnitud dan 7.6 magnitud menggegarkan selatan Turkiye pada Isnin lalu.

Gempa Bumi Turkiye

BACA: Pelajar Indonesia Cipta Alat Kesan Mangsa Bencana Tertimbus

Sumber: astro AWANI