Gara-Gara Tak Tahu Guna, Pencuri Terpaksa Pulangkan Semula Telefon

Pencuri Pulangkan Semula Telefon
Sumber: Gambar Hiasan

Gara-Gara Tak Tahu Guna, Pencuri Terpaksa Pulangkan Semula Telefon.

Jarang sekali kita mendengar pencuri memulangkan semula barangan yang dicuri atas sebab-sebab tertentu.

Seperti kes terkini, seorang lelaki di Jamalpur, India terpaksa memulangkan telefon bimbit kepada pemiliknya gara-gara tidak tahu menggunakan telefon yang dicuri itu.

Dia menjawab panggilan daripada pemilik berkenaan selepas tidak tahu bagaimana untuk menggunakan telefon itu sebelum berjanji untuk memulangkannya. Kejadian difahamkan, berlaku di sebuah kedai manisan di daerah Burdwan Timur.

Bercakap kepada media, polis berkata, seorang lelaki tidak sengaja meninggalkan telefon bimbitnya yang berharga 45,000 Rupee (kira-kira RM2,600) itu di kaunter sebuah kedai. Seorang individu kemudian mengambil telefon berkenaan.

Menurut laporan tempatan, pemilik membuat laporan polis selepas menyedari telefon bimbitnya itu hilang, sebelum berjaya menghubungi telefon berkenaan dan diangkat oleh pencuri yang tidak tahu cara penggunaannya.

Polis turut memaklumkan, pada mulanya pemilik cuba menghubungi telefon itu menggunakan nombor lain, namun panggilan itu dimatikan.

Pencuri Pulangkan Semula Telefon

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, pencuri berkenaan menjawab panggilan dan memaklumkan akan memulangkan telefon itu semula. Dia memberitahu tidak tahu menggunakan telefon itu.

“Saya terkejut ketika lelaki itu menjawab panggilan dan mengatakan bahawa dia ingin mengembalikan telefon saya.

“Saya mengambil telefon bimbit itu dari kediamannya dengan bantuan polis. Dia juga amat menyesal atas perbuatannya itu,” kata pemilik telefon bimbit itu dalam satu laporan.

Polis bagaimanapun tidak mengambil tindakan ke atas pencuri terbabit dan dia telah dibebaskan.

Kejadian itu turut mengundang pelbagai komen daripada pengguna media sosial Facebook.

Seorang pengguna media sosial itu dengan nama Ritesh Agarwal berpendapat tindakan lelaki itu lebih baik berbanding jika individu terbabit memutuskan untuk membuang telefon itu.

“Walaupun agak lucu, saya menghargai langkah pencuri mengembalikan telefon itu,” katanya.

BACA: Ebit Lew Luah Rasa Sedih, Pasar Raya Harga Murah Elews Mart Dipecah Masuk