
Gara-Gara Satu Isu Ini, foodpanda Thailand Hilang 2 Juta Pengguna Dan 90,000 Peniaga
Tidak dinafikan, kempen boikot merupakan salah satu senjata yang berkesan sehingga boleh merisaukan pihak yang diboikot.
Pada tahun lepas, foodpanda Thailand telah diboikot secara besar-besaran sehingga syarikat penghantaran makanan itu kehilangan 2 juta pengguna dan 90,000 peniaga hanya disebabkan satu isu ini.
Apa yang berlaku?
Mungkin anda pernah mendengar isu ini di media arus perdana pada pertengahan tahun lepas.
Ia bermula apabila foodpanda Thailand mengumumkan akan memecat mana-mana pekerjanya yang mengambil bahagian dalam demonstrasi pro demokrasi.
Ketika dalam kekecohan demonstrasi yang berlaku, tular sebuah video yang memperlihatkan seorang rider foodpanda turut menyertai protes tersebut.
Walaupun tidak mengenakan pakaian seragam foodpanda, tapi motosikal yang dibonceng didapati terpasang beg penghantaran makanan syarikat itu.
Disebabkan video itu, foodpanda mengeluarkan kenyataan dengan mengaitkan perbuatan penghantar makanan yang menghadiri protes itu sebagai pengganas dan tidak teragak untuk memecat pekerja.
Tindakan foodpanda membawa kecaman dan kritikan hebat daripada penggguna dan peniaga yang menggunakan perkhidmatan mereka.
Melihat reaksi negatif yang diterima, foodpanda Thailand kemudian mengeluarkan kenyataan maaf dan menyatakan penghantar makanan terbabit tidak akan diberhentikan serta ‘kebebasan bersuara bukanlah bersifat keganasan’.
Nasi sudah menjadi bubur, netizen Thailand tetap terus memboikot foodpanda sehingga digelar pandacott di media sosial.
Kira-kira 2 juta pengguna dan 90,000 peniaga juga dilaporkan tarik diri dari platform penghantaran makanan tersebut hanya seminggu selepas insiden ini.
Kesannya, syarikat tersebut terus merosot sehinggakan terpaksa melancarkan pelbagai inisiatif seperti memberi komisen tambahan kepada rider, diskaun pelanggan dan lain-lain untuk mengalakkan orang ramai menggunakan semula perkhidmatan mereka.
Akibat daripada kempen boikot itu juga, mata pencarian kebanyakan rider foodpanda turut terjejas.
Difahamkan, usaha boikot masih terus berjalan hingga sekarang walaupun tidak secara besar-besaran. Penduduk di sana mengatakan mereka berusaha mengelak daripada menggunakan perkhidmatan syarikat itu walaupun pelbagai usaha promosi telah dilancarkan.
Sumber: KrAsia, Tech In Asia
Trending now



