
Gara-Gara Percaya Iklan Di Facebook, Suri Rumah Rugi Wang Pusaka RM35,000
Di Kuantan, Pahang, wartawan Norhafizan Zulkifli dari KOSMO! ONLINE melaporkan, seorang suri rumah mengalami kerugian sebanyak RM35,000 akibat terperdaya dengan iklan yang dibuat oleh ‘scammer’.
Dalam kejadian yang bermula pada 13 Januari tersebut, mangsa yang berusia 40 tahun dikatakan telah tertarik selepas melihat satu iklan pembersihan bulu haiwan di laman sosial Facebook.
“Mangsa telah menghubungi suspek melalui nombor telefon yang diberikan dan mangsa diminta untuk memuat turun aplikasi yang diberi oleh suspek bagi tujuan pembayaran perkhidmatan tesebut”, jelas Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dalam satu kenyataan.
Difahamkan, wang simpanan berjumlah RM35,000 yang merupakan wang pusaka milik ayah mangsa lesap dari akaun bank selepas dia menggunakan aplikasi telefon pintar tersebut.
“Setelah mangsa mengisi butir-butir maklumat diri dalam aplikasi tersebut, mangsa mendapati wang di dalam akaun miliknya berkurangan sebanyak RM35,000,” tambah Datuk Seri Ramli lagi.
Orang ramai dinasihatkan agar jangan sesekali memuat turun aplikasi telefon bimbit yang mencurigakan dari orang yang tidak dikenali.
BACA: Jangan Jadi Mangsa ‘Scammer’, Polis Gesa Orang Ramai Muat Turun ‘Whoscall’
Sumber: KOSMO! ONLINE
Trending now



