
Gara-Gara ‘Lockdown’, Lelaki Ini Sanggup Sewa Kolam Renang RM30 Ribu Sebulan
Lelaki ini sanggup sewa kolam renang RM30 ribu sebulan.
Pandemik COVID-19 telah menyebabkan aktiviti harian masyarakat dunia terbatas dan mengubah 360 darjah kehidupan selama ini.
Aktiviti harian yang dibenarkan berjalan hanyalah untuk membeli barang keperluan dan rawatan, selain itu perlu ditangguhkan buat sementara waktu sehingga pandemik ini beransur pulih.
Bagaimanapun, bagi lelaki Britain yang tinggal di Singapura sanggup melaburkan wangnya dengan menyewa sebuah kolam renang dalam banglo mewah sebanyak RM30 ribu ($10,000) sebulan.
Alasan lelaki Britain itu mahu menyewa kolam renang terbabit kerana beliau tidak dapat menggunakan kolam renang di kondominiumnya disebabkan arahan penjarakan sosial yang perlu dipatuh.
Menurut Bloomberg, lelaki yang tidak mahu dirinya dikenali itu menghubungi ejen hartanah, Chen untuk mencari kediaman beserta kolam yang boleh disewa. Ketika dia menemui sebuah banglo bernilai $30 juta di Sentosa Cove, sebuah kawasan perumahan kelas atasan di sebuah pulau di selatan Singapura, dia memutuskan sewa bulanan $30,000 terlalu tinggi.
“Saya tanya kepada lelaki itu mengapa dia mahu menyewa banglo tersebut. Adakah kerana kekangan ruang di kediamannya sekarang?” tanya Chen.
Lelaki Britain itu menjawab bahawa dia hanya ingin menggunakan kolam renang kerana kolam di kediamannya ditutup.
Disebabkan pelanggannya hanya ingin menggunakan kolam renang di rumah berkonsepkan Bali, Chen mencapai perjanjian dengan pemilik hartanah yang akan menyewakan kolam dan halaman sekitarnya selama tiga bulan dan akan membatalkan perjanjian sekiranya orang lain ingin menyewa keseluruhan banglo itu.
Kata Chen, selama ini dia hanya menyewa pejabat, kilang, pangsapuri dan banglo, tetapi belum pernah lagi menyewa fasiliti rumah.
Menurut Chen lagi, sejak Singapura mengeluarkan perintah penjarakan sosial, dia menerima banyak permintaan daripada pelanggannya untuk menyewa banglo di Sentosa Cove untuk aktiviti harian mereka.
Singapura yang pada awalnya dipuji atas pendekatan mereka terhadap pandemik berbahaya akhirnya tersungkur dengan tiba-tiba apabila bilangan kes COVID-19 di Singapura kini meningkat melepasi Indonesia, sekali gus muncul yang tertinggi di Asia Tenggara selepas mengenal pasti ratusan pesakit dalam kalangan pekerja warga asing.
Setakat Rabu, sebanyak 528 kes baharu COVID-19 dicatatkan di republik itu dengan jumlah keseluruhan 14,951 kes.
Sumber: Bloomberg