
Gaji Macam Doktor Pakar, Ramai Jururawat Di Johor Berhijrah Ke Singapura
Selain dari penularan COVID-19 dan HFMD, satu lagi masalah yang ‘memeningkan kepala’ Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada ketika ini ialah ramai pula jururawat di Johor kini dilaporkan telah berhijrah ke Singapura.
Kekurangan jururawat di Johor ini dianggarkan berjumlah di antara 15,000 hingga 18,000 orang seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian.
Exco Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, kerajaan negeri Johor akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Kesihatan dalam masa terdekat bagi membincangkan masalah kekurangan ini.
Menurutnya, punca kekurangan jururawat dan doktor di Johor setiap tahun adalah disebabkan ramai yang memilih untuk bekerja dalam sektor perkhidmatan kesihatan di Singapura yang memberikan tawaran gaji yang lebih baik.
“Kita juga menjangkakan lebih ramai pergi bekerja di Singapura kerana nilai ringgit yang semakin susut ketika ini. Walaupun begitu saya percaya ramai jururawat yang masih mahu berkhidmat di negara ini,” jelas Ling Tian Soon.
Tawaran gaji yang berlipat ganda menyamai gaji seorang doktor pakar di Malaysia juga ditekankan oleh beliau bagi memberikan gambaran sebenar mengenai masalah kekurangan jururawat di Johor yang meruncing pada ketika ini.
“Difahamkan antara sebab jururawat kita bekerja di Singapura kerana menerima gaji seperti gaji seorang doktor pakar di Malaysia apabila sudah ditukar mata wang,” tambahnya lagi.
Pada masa ini, di Johor nisbah seorang jururawat adalah untuk 297 pesakit berbanding nisbah yang sepatutnya iaitu seorang jururawat untuk 200 pesakit sahaja.
Meskipun begitu, tahap keperluan jururawat di negeri ini masih belum kritikal. Namun, ianya masih perlu diisi segera supaya perkhidmatan kesihatan tidak terjejas dan dapat diberikan dengan terbaik serta berkesan.
Pertemuannya dengan Khairy kelak akan membincangkan kaedah serta tawaran terbaik bagi mengatasi masalah itu termasuk memberikan tawaran yang baik kepada jururawat dan doktor untuk menghalang mereka daripada terus berhijrah ke republik tersebut.
BACA: Jururawat Muslim Di Singapura Kini Dibenarkan Bertudung
Sumber: Sinar Harian