
Gagak Jadi Peneman Pemuda Ini Sejak Berusia Empat Bulan, Disayangi Satu Keluarga
Gagak lazimnya dianggap sebagai haiwan perosak yang rakus mencari sisa makanan dalam tong sampah, di premis perniagaan dan di sekitar kawasan perumahan.
Namun bagi Shafiq Kamis, 39 tahun, gagak menjadi pilihannya sebagai haiwan peliharaan. Dia bahkan mampu menjinakkan burung peliharaannya itu sehinggakan boleh bermain hide and seek dengannya.
Gagak setia

Pada mulanya Shafiq sebenarnya tidak berhasrat langsung untuk memelihara gagak kesayangannya itu.
Gagak yang diberi nama Irie itu diberikan kepadanya oleh seorang rakan ketika burung itu berumur empat bulan dan Shafiq merancang untuk melepaskannya sebaik sahaja ia berupaya terbang sendiri.
Namun setelah berkali-kali mencuba untuk melepaskan Irie, ia masih ‘berkeras’ mencari tuannya juga. Bahkan pada suatu ketika, Shafiq pernah melepaskan Irie pada jarak tiga kilometer dari rumahnya.
“Saya memberitahu diri saya bahawa saya akan memeliharanya memandangkan ia begitu setia pada saya,” katanya.
Makanan kegemaran telur goreng
Irie dipelihara dalam kediaman Shafiq namun ia bebas terbang sesuka hati pada siang hari. Menjelang senja, Irie akan pulang ke sangkar di dapur untuk berehat dan tuannya hanya perlu membiarkan tingkap dibuka.
Namun, seperti haiwan-haiwan peliharaan lain, Irie kadangkala berkelakuan ‘nakal’ dan bermalam di tempat lain.
Menurut Shafiq, Irie tidak cerewet tentang pemakanannya. Dietnya merangkumi cebisan ayam goreng, ikan, sayur-sayuran dan telur goreng pula menjadi kegemarannya.
Irie bukan saja senang dengan kehadiran tuannya malah mesra juga dengan seisi keluarga Shafiq. Begitu jinaknya sehinggakan boleh menemani tuannya dengan bertenggek di bahu Shafiq ketika dia berbasikal dalam perjalanan pulang ke rumah.

Telatah gagak jinak itu dikongsikan di saluran YouTube, Tarzan Malaya SG bersama-sama dua ekor burung kakaktua yang diberi nama Ryo dan Kyojin. Burung gagak itu semakin pintar sehingga boleh berburu duit syiling diletakkan di koridor yang kemudian akan diletakkan dalam cawan tertentu di luar rumah Shafiq.
Para penggemar burung mungkin berminat untuk mempelajari tip-tip yang dikongsi Shafiq menerusi laman Facebooknya mengenai proses menjalin ‘persahabatan’ dengan burung sehingga mencapai ‘kesan magnet’, iaitu apabila ia tidak putus melihat dan mendengarkan tuannya.
Jiran tetangga Shafiq pada awalnya, terkejut dengan kelibat gagak yang berterbangan di sekeliling kawasan kediaman mereka. Namun mereka kini sudah terbiasa dengan Irie dan tuannya itu.
Tidak hairanlah burung gagak itu boleh rapat dengan manusia kerana gagak sememangnya boleh mengecam wajah manusia lebih-lebih lagi kepada mereka yang tidak menyukai haiwan itu.
Sumber: Mediacorp SG
Trending now



