
Gadis Jepun Teruja Pertama Kali Rasai Suasana Hari Raya
Apabila tiba musim perayaan, bagi mereka yang berkenalan dengan warga asing pasti tidak akan melepaskan peluang mengajak mereka untuk mengenali kehidupan dan budaya masyarakat kita.
Begitu juga dengan kisah yang dikongsikan daripada pengalaman salah seorang tenaga pengajar Cakap Jepun, Fadhilah Mohamad.
Fadhilah mempelawa seorang kenalannya dari Jepun, Ami ketika menghadiri program Samurai Camp Cakap Jepun di sekolah sebagai fasilitator untuk balik beraya bersamanya di Terengganu memandangkan Ami tiada apa-apa perancangan ketika itu.
Pertama kali berpuasa
Ami mengajak seorang lagi rakannya, Aoi untuk datang beraya bersama Fadhilah.
Menurut Fadhilah, ketika mereka berhenti di RnR untuk beliau menunaikan solat, barulah Ami dan Aoi membeli sedikit makanan dan makan di dalam kereta.
Dari pandangan Fadhilah, masyarakat Jepun sangat menghormati budaya masyarakat lain walaupun ketika itu ada juga yang bukan Islam dan kanak-kanak yang tidak berkemampuan untuk berpuasa makan di RnR.
Apabila mereka sudah sampai di rumah Fadhilah, mereka disambut baik oleh keluarganya.
Menariknya, Ami dan Aoi cuba berpuasa untuk pertama kali. Walaupun ada ketikanya mereka kelihatan penat, mereka tetap berpuasa sehingga waktu berbuka.
Teruja melihat buah-buahan tempatan
Ami dan Aoi teruja melihat pokok buah-buahan seperti pokok kelapa, durian, rambutan, nanas, pisang, mangga, manggis dan banyak lagi. Bak kata Fadhilah, perasaan mereka melihat buah-buahan tempatan ini sama seperti kita pertama kali kagum melihat pokok anggur, strawberi dan ceri di luar negara.
Teruja melihat kecantikan pantai Terengganu
Fadhilah membawa dua gadis Jepun itu bersiar-siar di sekitar bandar Terengganu. Kata Fadhilah, mereka berdua teruja ketika dibawa ke pantai kerana di Jepun sukar untuk melihat pantai seperti di Terengganu.

Mencuba pelbagai masakan Melayu
Apabila tiba hari raya, mereka dijamu dengan masakan hari raya keluarga Fadhilah antaranya nasi minyak, ayam masak merah, kurma kambing dan sate. Katanya, paling sedap dimakan ketika hari raya ialah kurma kambing dan sate.
Kagum melihat hubungan silaturrahim orang Islam
Mereka kagum dan terharu melihat hubungan silaturrahim orang Islam bersama keluarga. Contohnya, budaya menziarahi saudara jauh (jarang jumpa) tiada di Jepun.
Di Jepun, mereka sangat-sangat jarang berjumpa dengan keluarga jauh. Jika perayaaan Tahun Baharu, kebiasaannya hanya berkumpul dengan keluarga terdekat sahaja.
Berpeluang melihat majlis tunang
Kebetulan ketika musim raya itu, ada majlis pertunangan di kampung Fadhilah. Kata mereka, di Jepun tiada majlis pertunangan. Hanya apabila si lelaki melamar perempuan dan diterima, itu sudah dikira bertunang.
Kebiasaannya, majlis pertunangan hanya menjemput kenalan terdekat dan majlis sekadar kecil-kecilan sahaja. Ami dan Aoi terkejut apa yang dikatakan kecil-kecilan itu sebenarnya bagi mereka tetap ramai.
Di Jepun, jemputan 50 orang sudah dikira ramai. Jadi, tidak hairanlah mengapa mereka sangat terkejut.
Mengenali budaya bersalam
Jika di Jepun, budaya bersalam mereka dengan menunduk (bow). Ami dan Aoi mempelajari budaya bersalam di Malaysia. Jika dengan orang yang lebih tua, kita mencium tangan sebagai tanda hormat, dan mereka tidak kekok mempelajari budaya di sini.
Bagi Fadhilah, mereka sangat bagus dan berani untuk mencuba perkara baharu walaupun usia masih muda, datang belajar di Malaysia seorang diri tanpa mengenal sesiapa.
Untuk baca cerita penuh di:
Bahagian 1
Bahagian 2
Bahagian 3
Bahagian 4
Sumber: Fadhilah Mohamad
Trending now



