
Fungsi Dan Kegunaan Stetoskop Yang Ramai Tidak Tahu
Susulan dari sebuah foto kereta Perodua Axia yang tular di media sosial ketika ini gara-gara terdapat stetoskop yang tergantung di cermin pandang belakangnya, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan telah membuat hantaran berikut di Facebooknya.
Hantaran tersebut walau bagaimanapun lebih berbentuk kepada penerangan ringkas mengenai fungsi dan kegunaan stetoskop dari kaca maca seorang doktor perubatan.
Di ruangan komen, didapati masih ramai netizen yang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pemilik asal yang memuat naik foto tersebut yang dianggap sebagai “pendengki” dan “tak ada kerja lain”.
Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan turut sempat menjawab beberapa komen dari netizen:
“First time pula saya tengok orang gantung stetoskop kat situ. Dr. selalu gantung tasbih atau pewangi kereta je.” – Alina Mohamad
“Kalau di kalangan kami (kerja hospital), ramai je sangkut dekat situ. – Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan
—–
“Bengkel kereta saya pergi, pomen pakai ni juga tapi hujungnya berbeza sikit la.” – IR Izzat Rahman
“Tu la biasa tengok juga.” – Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan
—–
“Takkan doktor pakai Axia….erm.” – Halim Salim
“Ramai je doktor pakai Axia. Saya pun pakai Kelisa.” – Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan
—–
Berikut merupakan hantaran yang dibuat oleh Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan tersebut yang menerangkan mengenai fungsi dan kegunaan stetoskop:
Tahukah kalian, stetoskop bukan sahaja digunakan untuk mendengar paru-paru dan jantung?
Stetoskop adalah alat yang amat sinonim dengan kerjaya kedoktoran. Selain kot putih, stetoskop dilihat sebagai salah satu elemen dalam gambaran identiti seorang doktor.
Doktor biasanya bawa stetoskop ke mana-mana, kerana ia sangat penting dalam membantu doktor mengenal pasti masalah pada tubuh manusia. Antara fungsi stetoskop adalah:
- Mendengar bunyi pernafasan
Leloceng stetoskop diletak di dada, untuk mendengar bunyi pernafasan. Pernafasan bermasalah mungkin menghasilkan bunyi berdecit, berbuih, berkeriuk, tiada bunyi langsung, dan lain-lain. Setiap bunyi ini memberi gambaran masalah yang berlaku.
- Mendengar bunyi jantung
Leloceng stetoskop diletak di dada, sebelah kiri untuk mendengar degupan jantung. Jantung normal menghasilkan bunyi lup-dup. Jika bunyinya berubah, ada desiran, atau ritmanya tak sekata, itu tandanya ada masalah dengan jantung.
- Mendengar bunyi usus
Leloceng stetoskop diletak di abdomen, untuk mendengar bunyi pergerakan peristalsis usus. Bunyi peristalsis usus yang kurang aktif (sluggish) atau terlebih aktif (hiperaktif) menandakan ada masalah dengan usus.
- Menentukan tekanan darah
Jika doktor periksa tekanan darah gunakan spigomanometer, doktor perlukan stetoskop untuk dengar bunyi salur darah di lengan. Bila ia mula berbunyi, doktor baca paras tekanan sistolik. Bila ia mula hilang, doktor baca paras diastolik.
- Mendengar aliran darah
Aliran darah yang laminar (sekata) tidak berbunyi, manakala aliran yang tidak sekata pula menghasilkan bunyi. Salur darah yang sempit, menghasilkan aliran yang tak sekata, jadi bunyinya boleh didengar menggunakan stetoskop.
- Alat bantuan mendengar
Ini bukan fungsi rasmi stetoskop, tetapi kadang-kadang apabila ada pesakit yang kurang pendengaran, doktor akan pakaikan pesakit dengan stetoskop di telinga, kemudian doktor akan bercakap pada leloceng stetoskop.
Banyak fungsi stetoskop ni, kan? Sebab itulah doktor bawa ia ke mana-mana. Ia memang penting dalam menjalankan tugas mereka mengenal pasti masalah yang dialami pesakit.
Sebenarnya, stetoskop bukan sahaja digunakan oleh para doktor. Banyak pekerjaan lain juga menggunakan stetoskop dalam tugas seharian, antaranya:
◾Jururawat
◾Pembantu perubatan
◾Jurupulih fisioterapi
◾Jurupulih carakerja
◾Jurupulih pertuturan
◾Veterinar, dan lain-lain
Semoga bermanfaat!
Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan
Kesihatan dan Perubatan
Sumber: Facebook Kamarul Ariffin Nor Sadan