
Forrest Gump Dalam Proses Pembikinan Semula. Tampak Menarik!

Filem pecah panggung arahan Robert Zemeckis (trilogi Back To The Future) yang berjaya menggondol 6 anugerah Oscar bagi tahun 1994 iaitu Forrest Gump kini dikhabarkan telah disunting oleh Bollywood untuk dilakonkan semula oleh Aamir Khan.
Pelakon, pengarah dan pengacara terkemuka tersebut baru-baru ini telah membuat pengumuman ketika sambutan hari lahirnya yang ke-54.
“Saya amat meminati skrip Forrest Gump,” ujarnya yang akan memegang watak utama filem Laal Singh Chadda berdasarkan watak Forrest Gump yang menjulang nama Tom Hanks dan telah menobatkannya dengan anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Academy sebanyak 2 kali berturut-turut.

Tambahnya lagi pembelian hak dari Paramount juga telah dibuat dan proses penggambaran akan bermula Oktober ini untuk tayangannya pada tahun depan.
“Saya dikehendaki untuk berbadan kurus (bagi memegang watak ini),” jelas Aamir Khan yang menerangkan bahawa beliau akan menurunkan berat badan sebanyak 20kg sebagai persediaan untuk menghayati watak tersebut.

Forrest Gump asalnya merupakan sebuah novel yang ditulis oleh Winston Groom pada tahun 1986. Ia mengisahkan tentang seorang pemuda yang baik hati tetapi tidak mempunyai daya intelektual yang tinggi. Namun, tanpa disangka beliau sebenarnya banyak terlibat dalam sejarah dan peristiwa penting yang berlaku di Amerika Syarikat pada abad ke-20.

Aamir sebelum ini telah banyak membintangi filem-filem pecah panggung seperti Ghajini (2008), 3 Idiots (2009), Dhoom 3 (2013), PK (2014) dan Dangal (2016). Filem terbarunya Thugs of Hindostan (2018) bagaimanapun gagal mendapat sambutan.
Filem-filem blockbuster Hollywood seringkali menjadi inspirasi bagi pembikin filem Hindi. Filem Kaante (2002) misalnya dipengaruhi oleh filem Reservoir Dogs (1992) arahan Quentin Tarantino. Sarkar (2005) pula dapat disamakan dengan The Godfather (1972) manakala Chachi 420 (1997) diceduk dari Mrs. Doubtfire (1993). Filem-filem ini walaubagaimanapun hanyalah merupakan adaptasi yang dilakukan secara tidak rasmi.
Selain dari Forrest Gump, kisah cinta The Fault in Our Stars (2014) lakonan Shailene Woodley dan Ansel Elgort juga dikatakan bakal dihasilkan semula secara rasmi sebagai sebuah filem Hindi. Namun, masih belum ada apa-apa perkhabaran mengenainya.

Anda teruja dengan Forrest Gump versi Hindi? Pasti menarik mendengar ungkapan “Life’s a box of chocolates “ dan “Stupid is as stupid does” dalam versi Hindi. Kami jangkakan juga beberapa plot dan watak asal pasti akan berubah misalnya watak Lieutenant Dan kini akan bertukar menjadi watak seorang inspektor polis dan watak Bubba pula pastinya menjadi watak yang akan membuatkan penonton tidak kering gusi. Sudah tentu juga Forrest dan Jenny versi Hindi kali ini wajib handal menyanyi dan menari. “Dance, Singh! Dance!” Pasti pecah panggung!
(Sumber: AFP)
BACA JUGA: ‘Super 30’ Papar Kisah Guru Yang Tinggalkan Kemewahan Demi Mengajar 30 Orang Genius Miskin