
Final Piala AFC: Sepak Mula Pukul 7 Malam, Ramai Tak Solat Maghrib?
Pertembungan di antara wakil negara, Kuala Lumpur (KL) City FC dengan kelab Al-Seeb dari Oman pada 22 Oktober ini bagi aksi final Piala AFC mengejutkan ramai peminat bola sepak tanah air kerana sepak mulanya dijadualkan akan berlangsung pada jam 7 malam.
Keadaan ini amat dikesali kerana laungan azan bagi menandakan masuknya waktu solat Maghrib bagi kawasan Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan yang sewaktu dengannya adalah pada pukul 7.01 malam.
Puluhan ribu penyokong yang dijangka bakal memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam itu tentunya berasa gusar dan kurang senang dengan waktu sepak mula yang tidak sesuai tersebut.
Menurut astro AWANI, poster pembelian tiket bagi perlawanan itu yang boleh dibuat secara dalam talian telah dimuat naik di Facebook KL City yang memaparkan masa sepak mula pada jam 7 malam tersebut.
Didapati pelbagai reaksi telah diterima dari penyokong yang tidak berpuas hati, yang mahukan masa sepak mula tersebut diubah kepada masa yang lebih sesuai bagi memberi peluang kepada umat Islam termasuk pemain menunaikan solat terlebih dahulu.
“Awal sangat tu. Tengah masuk waktu maghrib. Itu waktu (jam 7) Kuala Lumpur dan Malaysia,” jelas seorang penyokong, Farhan yang berharap masa tersebut diubah kepada jam 8 atau 9 malam.
“Permainan jam 7. Solat Maghrib dahulu. Lewat sikit masuk stadium pun tak apa,” kata Wak Muhammad Jamalullail.
Mohd Shamsol pula berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan KL City dapat membuat permohonan rasmi kepada AFC agar sepak mula ditukar kepada jam 8 malam.
KL City di bawah bimbingan Bojan Hodak itu dijangka mampu mencipta kejutan sekali gus menjadi pasukan kedua dari Malaysia memenangi kejuaraan tersebut selepas kali pertama diraih Johor Darul Ta’zim (JDT) pada tahun 2015.
BACA: Tular Foto Penyokong Duduk Berhimpun Dalam Stadium, Ramai Menanti Solat Saf Rapat Di Masjid
Sumber: astro AWANI