Ganjaran Wang Penduduk Filipina Berpindah Ke Kampung

Filipina Tawar Ganjaran Wang Kepada Penduduk Bandar Yang Sedia Berpindah Ke Kampung

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Sekiranya anda ditawarkan ganjaran wang tunai untuk menukar kehidupan dari bandar ke luar bandar, adakah anda akan menerima tawaran tersebut?

Inilah dilema yang dihadapi oleh kebanyakan penduduk bandar Manila ketika Presiden Rodrigo Duterte melancarkan program ‘Back to the Province’.

Dengan penduduk lebih dari 13 juta orang, Manila terkenal sebagai salah satu bandar terpadat di dunia, dengan berkongsi tempat teratas bersama Bengaluru, India sebagai bandar yang mengalami kesesakan lalu lintas terburuk.

Menurut senarai kesesakan lalu lintas di TomTom, Manila berkongsi tempat teratas dengan Bengaluru iaitu 71 peratus tahap kesesakan. Sebagai perbandingan, Kuala Lumpur hanya mempunyai 37 peratus.

Pandemik COVID-19 membawa alasan kepada Presiden Filipina Rodrigo Duterte, untuk mengurangi kepadatan penduduk di Manila. Justeru, program tersebut adalah salah satu percubaan paling agresif dalam beberapa dekad untuk memikat penduduk Filipina membina kehidupan baharu di kawasan kampung dengan penawaran wang tunai dan barangan keperluan.

Ganjaran Wang Penduduk Filipina Berpindah Ke Kampung

Krisis COVID-19 memperlihatkan bagaimana pertumbuhan pantas penduduk dan penghijrahan ke bandar meningkat telah membebani perkhidmatan pengangkutan awam, bekalan elektrik dan air, serta khidmat kesihatan di Manila.

Program ini dirancang untuk membantu orang seperti Joel Gortina, seorang juruelektrik berusia 38 tahun, yang ingin kembali ke wilayah Cebu setelah 15 tahun belajar dan bekerja di Manila.

Dengan pekerjaan yang semakin sukar di tengah pandemik itu, Gortina merancang untuk meninggalkan Manila pada pertengahan bulan Mac, tetapi gagal setelah pemerintahnya melaksanakan perintah sekatan pergerakan.

Keluarga yang lulus untuk program ini akan menerima wang tunai dan barangan sebanyak 110,000 peso (~RM 9,417). Hampir 60,000 orang telah mengisi permohonan sejak program itu bermula pada pertengahan Mei dengan keutamaan diberikan kepada penganggur, mereka yang kehilangan tempat tinggal dan yang tinggal di kawasan dilanda bencana.

Namun, sebilangan pemerhati berpendapat bahawa program ini hanya dapat menjadi penyelesaian sementara hingga ekonomi pulih.

Dalam laporan terkini, para penyelidik di Universiti Filipina mengatakan bahawa pembangunan wilayah yang seimbang adalah kunci untuk meyakinkan dan mempertahankan mereka kekal berada di luar bandar.

“Ketika mereka berasa ingin kembali ke bandar, kita perlu memberi mereka alasan yang kukuh untuk tinggal di sana untuk selamanya.”

Sumber: Bloomberg