Filem Untung

Filem Untung Juta-Juta Tak Semestinya Pelakonnya Jadi Kaya-Raya

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Sejak filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan mendapat reaksi positif dan mencetuskan fenomena luar biasa, pengarah dan barisan pelakonnya turut menerima pujian dari orang ramai.

Malah, ada yang turut beranggapan kejayaan filem tersebut mengutip hampir RM100 juta setakat ini juga telah menyebabkan pelakon-pelakonnya juga serta-merta menjadi kaya-raya.

Bintang popular, Nam Ron yang memegang watak Haji Sulong dalam filem Mat Kilau telah membetulkan persepsi ini melalui satu hantaran di Facebooknya.

Tahun ini, filem Top Gun: Maverick berjaya ‘memukul’ semua filem superhero Marvel dan DC selepas pandemik sehingga berjaya mengutip lebih AS$1.3 billion setakat ini.

Tom Cruise juga dikatakan bakal menerima bayaran lebih AS$100 juta kerana kontraknya yang turut mengikut peratusan dari hasil jumlah jualan tiket filem tersebut.

Adakah ini bermakna pelakon-pelakon Mat Kilau juga akan turut menerima bayaran jutaan ringgit? Mungkinkah pelakon-pelakon Mat Kilau ini juga akan ‘terima surat’ dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kelak kerana mereka kini sudah kaya-raya?

Jom sama-sama kita ikuti penerangan yang dibuat oleh Nam Ron berikut:

1 Filem Untung

Kebelakangan ni, saya dapati orang sekeliling memandang saya seperti jutawan. Ada yang minta sumbangan dan bantuan atau sekurang kurangnya tersenyum lebar bila memandang saya dan ada yang berani menegur ”kaya lah abang sekarang.”

Ini semua gara gara filem Mat Kilau collect berpuluh puluh juta. Kebanyakan orang ramai tak tahu hakikat sebenarnya. Keuntungan sesebuah filem bukannya pergi kepada pelakon mahupun pengarah. Untung rugi sesebuah filem itu akan ditanggung oleh penerbit. Jika sesebuah filem itu untung senang lah hati penerbit sebaliknya jika rugi susah lah hatinya.

Saya tak salahkan penonton yang tidak tahu hal yang sebenarnya kerana ada juga agensi kerajaan yang tidak tahu akan hal ini. Contohnya ada kawan seorang pelakon yang berlakon filem box office mendapat surat dari LDHN memintanya menjelaskan cukai yang tak masuk akal hanya kerana filem lakonannya mengutip jutaan ringgit.

Bayaran pelakon adalah bersifat one off. Kami akan ditawarkan dengan harga tertentu untuk terlibat di dalam sesebuah filem. Ada tawar menawarkan sehingga bertemu di satu titik yang dipersetujui oleh ke dua dua pihak dan apabila kontrak ditandatangani itulah bayaran yang kami terima.

Ada juga yang bertanya “kenapa tak minta profit sharing?” Sebenarnya tak semudah itu. Bagi pelakon yang benar benar popular, di mana penerbit betul betul mahukannya kerana dianggap dapat melariskan filem mereka tetapi tidak mampu membayar dengan harga yang tinggi. Mereka akan meminta profit sharing dan penerbit terpaksa akur kerana mahukan filemnya mendapat sambutan tetapi ini sangat jarang berlaku kerana walaupun pelakon itu popular harga mereka tidaklah setinggi gunung yang buatkan penerbit filem komersial tak mampu bayar.

Sebagai pelakon keuntungan kami apabila sesebuah filem itu mengaut keuntungan adalah kami akan terus mendapat tawaran berlakon dari penerbit penerbit filem. Sebaliknya jika filem lakonan kami rugi penerbit penerbit filem tidak lagi mahu menggunakan khidmat kami kerana pelakon dianggap sebagai sebagai daya tarikan untuk penonton datang ke panggung (walaupun hakikatnya tidak begitu).

Tapi ya lah bukan semua penerbit sebegitu ada juga penerbit yang membuat low budget movie akan mendatangi pelakon pelakon yang dianggap tidak dapat menarik penonton ini untuk berkerjasama. Sudah pasti dengan budget yang sedikit mereka tak mampu untuk mengikat kontrak pelakon pelakon yang dapat menarik penonton ini. Sedangkan pelakon yang tidak popular ini mereka boleh mendapatkan dengan harga yang murah.

Saya pula adalah jenis pelakon yang tak kisah. Ada juga penerbit penerbit filem yang menghasilkan filem komersial mengambil saya untuk berlakon dalam filem mereka untuk watak watak pembantu dan sampingan. Dan, saya juga sering berkerja dengan penerbit penerbit filem low budget untuk watak utama dan pembantu dengan harga yang tidak tinggi.  Namun untuk mendapat tawaran watak utama untuk filem komersial memang tak ada lah sebab saya tidak popular dan dianggap tidak boleh menarik penonton ke pawagam.

Sumber: Facebook Nam Ron