
Filem Terbaru Doctor Strange Diharamkan Di Arab Saudi, Mesir, Kuwait Dan Qatar
Filem terbaru dari Disney dan Marvel Studios yang berjudul Doctor Strange in the Multiverse of Madness dilaporkan telah diharamkan tayangannya di Arab Saudi, Mesir, Kuwait dan Qatar.
Tempahan tiket di negara-negara itu juga telah dibatalkan untuk filem sekuel Doctor Strange yang dinanti-nantikan peminat ini.
Beberapa negara yang lain seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Malaysia walau bagaimanapun didapati masih membuka tempahan tiket untuk tayangan filem ini mulai 4 Mei sempena Aidilfitri nanti.
Di Bahrain, Oman dan Indonesia juga masih tiada apa-apa laporan dikeluarkan mengenai pengharaman tayangan filem ini.
Larangan ke atas filem yang dibintangi Benedict Cumberbatch ini dikatakan berpunca dari watak LGBTQ, America Chavez lakonan Xochitl Gomez yang merupakan seorang gay.
Memang telah banyak filem gagal melepasi proses penapisan untuk ditayangkan di negara-negara Teluk disebabkan paparan homoseksualiti yang sangat dikecam di sana.
Filem muzikal West Side Story arahan pengarah filem Yahudi tersohor Steven Spielberg turut diharamkan sebelum ini di Arab Saudi, UAE, Qatar, Bahrain, Oman dan Kuwait kerana memaparkan watak transgender.
Sebelum ini juga, Eternals turut diharamkan di Arab Saudi kerana menampilkan superhero ‘kunyit’ pertama Marvel Cinematic Universe (MCU) lakonan Brian Tyree Henry dan Haaz Sleiman yang pernah mengaku dirinya sebagai seorang Muslim gay.
Entah kenapa, seperti telah menjadi kebiasaan, beberapa filem termasuk filem animasi Pixar dan siri TV kanak-kanak kebelakangan ini dilihat gemar menyelitkan watak-watak LGBTQ untuk tontonan keluarga.
BACA: AWAS! Unsur ‘Kunyit’ Dalam Filem Dan Rancangan Hiburan Kanak-Kanak Hari Ini
Di Malaysia, tayangan Eternals ‘dilepaskan’ setelah menerima beberapa suntingan dan dijangkakan filem Doctor Strange ini juga tidak ada masalah untuk ditayangkan di sini.
Sumber: HuffPost