Pulau

Filem ‘Pulau’ – Siapa Pergi Dia Mati: Banyak Adegan Tidak Sesuai Untuk Umat Islam?

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Filem tempatan, ‘Pulau’ yang bakal menemui penonton bermula 9 Mac nanti telah mencetus kontroversi apabila dikatakan mengandungi elemen-elemen yang tidak sesuai dengan adat dan budaya masyarakat di Malaysia khususnya umat Islam.

Pulau

Filem arahan Euho tersebut telah mendapat perhatian pendakwah bebas, Ustaz Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau lebih dikenali dengan PU Syed yang memuat naik satu video berdurasi 57 saat melalui akaun TikToknya, @pu_syedofficial bagi menggesa agar pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.

Pulau

Menurut beliau, filem seram yang dibintangi oleh Amelia Henderson, Alif Satar, Ikmal Amry, Joey Leong, Sanjna Suri, Alexander Henderson, Ms.PuiYi, Namron, Wan Hanafi Su dan lain-lain itu juga tidak sesuai ditayangkan lebih-lebih lagi dalam masa kira-kira 2 minggu sebelum umat Islam menyambut ketibaan Ramadan.

Berikut adalah kata-kata teguran yang dibuat oleh PU Syed dalam video TikToknya tersebut:

“Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Dikatakan filem ini, mempunyai adegan-adegan yang tidak sepatutnya dipertontonkan dan gaya pemakaian pelakon-pelakon yang sangat menjolok mata dan diterbitkan di Malaysia.

“Jadi saya nak minta sangat pihak yang berkuasa, pihak FINAS, KDN, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, mana-mana pihak SKMM, yang mana terlibat, yang boleh menapis filem-filem daripada dikeluarkan, ditayangkan di panggung wayang, tolong tapis filem ini!

“Kalau rasa tak bermanfaat kepada manusia khususnya umat Islam, tolonglah batalkan penayangannya pada bulan Mac nanti, jangan ditayangkan lebih-lebih lagi dalam dekatnya bulan Ramadan daripada kita melakukan maksiat kepada Allah SWT, jadi cepat-cepat kita menyekat perkara ini daripada menular kepada masyarakat kita.

“Cukup-cukuplah kita bagi peluang dan ruang yang seluas-luasnya kepada filem-filem yang mengarut yang akhirnya tak dapat manfaat kepada ummah, tak dapat manfaat kepada negara dan masyarakat. Wallahu a’lam. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.”

Tonton treler Pulau di bawah ini. Apa pendapat anda?

BACA: ‘Agenda Sesat Makin Berleluasa’ – Ibu Bapa Diseru Pantau Tontonan Anak-Anak

Sumber: @pu_syedofficial