Festival Bon Odori Malaysia

Festival Bon Odori, Perayaan Agama Atau Budaya?

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Timbul isu apabila umat Islam di negara ini dinasihatkan agar tidak menyertai acara Festival Bon Odori yang bakal diadakan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad, berdasarkan kajian dibuat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mendapati acara tersebut mempunyai unsur-unsur keagamaan.

Kenyataan tersebut turut disambut Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor yang menyatakan umat Islam tidak patut menyertai acara itu bagi memelihara kesucian pegangan agama.

“Acara ini mengingati roh atau semangat nenek-moyang yang dikhuatiri boleh membawa kepada syirik. Orang Islam mesti selalu menjaga kesucian kepercayaan mereka.

“Mengingati roh nenek-moyang dengan menari, menyembah semangat mereka dan sebagainya tidak digalakkan dalam Islam. Ini boleh membawa dosa syirik kepada Allah,” katanya.

Ia menimbulkan kekeliruan apabila poster penganjuran festival itu turut memperlihatkan anime wanita berhijab dalam persalinan yukata.

Bon Odori – Perayaan agama atau budaya?

Falsafah dan sejarah di sebalik perayaan Bon ini adalah berasaskan kepada kepercayaan agama yang wujud di dalam agama Buddha.

Masyarakat Jepun yang beragama Buddha percaya pada hari Bon tersebut roh nenek moyang akan berkeliaran menziarahi kembali ke rumah.

Kebiasaannya, ahli keluarga akan membersihkan kubur nenek moyang mereka, membawa makanan kegemaran serta menggantung tanglung untuk membimbing roh ke alam lain.

Rakyat Jepun sudah meraikan festival ini lebih setengah abad, yang menampilkan persembahan tarian dikenali sebagai Bon Odori. Ia adalah sejenis tarian diiringi nyanyian lagu tradisional.

Festival Bon Odori Malaysia

Festival Bon Odori dianggap sebagai antara festival yang paling penting bagi masyarakat Jepun dan disambut pada setiap bulan Julai.

Walaupun Bon bukan cuti umum, ia masih menjadi kebiasaan bagi pekerja untuk mengambil cuti untuk meraikan cuti tersebut.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk tarian, nyanyian, persembahan dram dan gendang Jepun dengan tumpuan kepada tarian Obon.

Walaupun festival Obon berteraskan kepada upacara keagamaan, namun sejajar dengan peredaran zaman, penganjurannya mula berubah dan dilihat sebagai perhimpunan sosial bagi merasai budaya dan hiburan Jepun.

Bagi masyarakat Jepun, festival ini juga adalah peluang mereka untuk pulang ke kampung halaman dan meluangkan masa bersama keluarga selain mencuci kubur nenek moyang dan menyalakan tanglung.

Hari ini, tarian Bon Odori telah berevolusi sebagai hiburan semasa perayaan namun masih mengekalkan tradisi yang telah diamalkan sejak berabad lamanya.

Festival Bon Odori Malaysia

Di Malaysia, acara tahunan Bon Odori dianjurkan di Pulau Pinang, Sabah dan Selangor dan telah disambut selama lebih 40 tahun.

Festival yang diadakan di Selangor – sering dilihat sebagai yang terbesar di luar Jepun, yang dianjurkan oleh antaranya Kelab Jepun Kuala Lumpur dan Kedutaan Jepun, serta mendapat sokongan kerajaan negeri Selangor.

Sumber: The Malaysian Insight