Falsafah Bunga Telur Perkahwinan

Falsafah Melayu Di Sebalik Pemberian Bunga Telur Dalam Majlis Perkahwinan

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Menjadi satu kemestian untuk memberi cenderahati kepada tetamu yang menghadiri majlis perkahwinan. Tidak elok rasanya tetamu bertandang dari jauh pulang tangan kosong.

Pemberian buah tangan yang menjadi budaya turun temurun ini diamalkan sejak dahulu. Apa yang membezakannya hanya jenis barang dan perhiasan ditampilkan yang sentiasa bertukar saban tahun.

Tradisi pemberian bunga telur sememangnya sudah lama diamalkan dalam mana-mana resepsi perkahwinan Melayu. Ia dijadikan oleh-oleh buat tetamu bagi memeriahkan majlis sebagai tanda ingatan tulus ikhlas daripada pihak pengantin.

Namun, dalam perkahwinan masyarakat Melayu pada abad ini, pemberian bunga telur sebagai hadiah kepada tetamu kurang diamalkan dan tidak lagi menjadi pilihan utama yang digantikan dengan cendera hati lain.

Antara alasannya ialah telur dan bekas telur mahal, telur rebus tidak tahan lama, nampak ketinggalan zaman dan pelbagai alasan lain.

Falsafah Bunga Telur Perkahwinan

Falsafah Melayu di sebalik bunga telur

Pemberian bunga telur atau bunga pahar pada majlis perkahwinan orang Melayu dikatakan sebagai simbol kesuburan. Tetamu yang menerima, diharapkan akan bersama-sama mendoakan pasangan pengantin dikurniakan zuriat, memandangkan kehidupan manusia bermula daripada persenyawaan benih telur.

Kira-kira sedekad yang lalu, majlis kenduri kahwin masih mengutamakan tradisi membeli beratus-ratus telur ayam untuk direbus di dalam periuk besar dan kemudian dimasukkan ke dalam bekas untuk diagihkan kepada tetamu.

Acara merebus telur ini juga ditetapkan sekurang-kurangnya dua hari sebelum majlis kenduri kahwin. Anggota keluarga, jiran dan kawan-kawan bakal pengantin akan duduk beramai-ramai bergotong-royong mengisi telur ke dalam bekas.

Selain fungsinya sebagai lambang kesuburan dan tanda terima kasih, bunga telur turut dijadikan penyeri pentas pelamin.

Lazimnya, joran bunga telur dicacakkan penuh pada batang pisang sehingga menampakkannya seperti pohon bunga yang menarik.

Pohon bunga telur akan diletakkan di antara kerusi mempelai atau di kiri dan di kanan tangga pelamin. Selain menjadi penghias pelamin, bunga telur diagihkan kepada tetamu sebelah pihak apabila mereka selesai menepung tawar.

Oleh sebab itu, bunga telur dibuat seindah mungkin kerana dijadikan buah tangan untuk pihak pelawat.

BACA: Nak Cari Pasangan ‘Oversea’? Ini 5 Tradisi Perkahwinan Paling Pelik Di Dunia Yang Perlu Anda Tahu

Sumber: Harian Metro, Mstar