
Fahami Apa Itu LTTE Dan Kenapa Kita Perlu Tanganinya
Pada 10 Oktober lalu, polis telah menahan seramai 12 individu termasuk dua Adun DAP kerana dikaitkan dengan kegiatan LTTE. Penahanan itu disebabkan terdapat transaksi kewangan dalam jumlah yang besar untuk mempromosi, membiayai, merekrut dan menggerakkan program berkaitan kumpulan militan itu.
Apa Itu LTTE?
Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) merupakan antara kumpulan pemberontak yang memperjuang untuk mewujudkan negeri Tamil berasingan di utara dan timur Sri Lanka.
Secara beransur-ansur LTTE semakin dikenali di kalangan kumpulan-kumpulan ini dan di kemuncak kekuasaannya berjaya melebarkan pengaruh dengan mendirikan wilayah sendiri di utara negara itu. Kumpulan itu mendapat perhatian golongan muda Tamil yang kebanyakannya kecewa dengan dasar kerajaan Sri Lanka.
Walaupun pemberontak LTTE ini tidak dikenali ramai, tetapi kumpulan itu sangat sistematik dan tersusun dalam bidang risikan yang mana ia telah disahkan agensi keselamatan yang terbesar dunia FBI dan CIA Amerika Syarikat sebagai kumpulan pemberontak paling ganas di dunia.
LTTE juga dikatakan bertanggungjawab atas pembunuhan bekas Perdana Menteri India, Rajiv Gandhi pada 1991 lalu.
Menurut Pakar Keselamatan Strategik dari UniMap, Prof Madya Dr Mizan Aslan, LTTE merupakan kumupulan pertama yang menjalankan modus operandi meletupkan diri. LTTE turut terkenal kerana penggunaan askar kanak-kanak dan wanita, pengebom bunuh diri dan pembunuhan politik.
Kenapa Kita Perlu Tangani LTTE?
Pada tahun 2009, LTTE dikalahkan oleh tentera Sri Lanka dan tokohnya Velupillai Prabhakaran serta kebanyakan pemimpin lain terbunuh, manakala yang lain ditangkap dengan lebih 10,000 anggota ditahan.
Walaupun dikatakan kumpulan ini sudah berakhir, namun reputasinya menggunakan pendekatan ganas tetap mendapat banyak simpati dan sokongan kewangan dari segenap penjuru.

Dan kini kita dikejutkan ada rakyat Malaysia terlibat dengan perjuangan kumpulan pemberontak itu. Menurut Dr Mizan, salah satu sebab mereka memilih Malaysia untuk mengembangkan perjuangan mereka selain negara maju lain seperti England, Amerika Syarikat dan Kanada adalah kerana ekonomi Malaysia yang stabil.
“Ia memudahkan pungutan dana buat perjuangan mereka,” ujarnya.
Berdasarkan laporan, kegiatan pengedaran risalah mengenai kumpulan pengganas ini termasuk usaha merekrut seramai mungkin ahli baharu sebenarnya masih berleluasa dalam usaha bagi mengaktifkan semula kegiatan-kegiatan LTTE di serata dunia termasuklah di negara ini.
Oleh itu, rakyat di negara ini perlu memainkan peranan dan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membantu menangani penularan ideologi ekstrem kumpulan pemberontak ini.
Dan isu penahanan ini diharap tidak dikaitkan sebagai isu perkauman, agama mahupun politik kerana jelas ia berkaitan dengan isu keselamatan negara.
Sumber: Awani, Sinar Harian, Malaysia Kini