Penghantar Makanan Langgar Jalan Raya

‘Faham Kejar Order, Tapi Nyawa Satu Je’ – Netizen Mohon Penghantar Makanan Patuh Undang-Undang Jalan Raya

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Bukanlah pertama kali kita mendengar kes penunggang motosikal yang menjalankan perkhidmatan penghantar makanan tidak mematuhi undang-undang jalan raya dengan melanggar lampu isyarat.

Tindakan sebegitu jika nasib tidak menyebelahinya, akan menyebabkan berlakunya kes kemalangan jalan raya.

Tular di media sosial mengenai sebuah video yang memaparkan kemalangan membabitkan dua penghantar makanan.

Menerusi video terbabit, kedua-dua penghantar makanan tersebut dilihat bertembung di satu simpang jalan. Difahamkan, kejadian itu berlaku di Jalan Alam Damai, Taman Connaught di Cheras menerusi dashcam milik seorang pengguna Facebook.

Dapat dilihat, penghantar makanan dari arah rakaman dashcam sedang menyeberangi jalan di simpang itu sebelum dilanggar oleh penunggang dari arah bertentangan.

Penghantar makanan dari arah bertentangan dilihat jatuh berguling akibat daripada rempuhan itu sementara seorang lagi penunggang terus bangun dan berjalan ke arah mangsa untuk memeriksa keadaannya.

Bagaimanapun, tidak diketahui keadaan terkini mengenai keadaan kedua-dua penghantar makanan terbabit.

Penghantar Makanan Langgar Jalan Raya
Sumber: Facebook

Walaupun berasa simpati melihat nasib yang menimpa kedua-dua penghantar makanan itu, rata-rata netizen yang melihat video berkenaan turut merayu agar golongan ini mematuhi undang-undang jalan raya meskipun mahu mengejar tempahan pelanggan.

“Bekerja sebagai pembawa makanan sama ada Food Panda atau Grab, tidak menghalalkan seseorang itu tidak mematuhi undang-undang.

“Banyak kes terutama langgar lampu merah berlaku di hadapan mata saya. Bila kemalangan, keluar pula cerita sedih,” kata Xavier Naxa.

“Sudah jadi amalan rider tak kisah undang-undang jalan raya ke?”

“Faham kejar order. Tapi ingat, nyawa satu je.”

“Harap semua rider ambil pengajaran. Mohon utamakan keselamatan diri dan lain-lain.

Para rider diingatkan agar menitik beratkan aspek keselamatan sewaktu menjalankan tugas. Menunggang motosila secara melulu bukan sahaja mengundang risiko bahaya, malah menyebabkan tempahan pelanggan rosak.