
Facebook Dan Instagram Mungkin Ditutup Jika Gagal Dapatkan Data Pengguna?
Meta Platforms Inc. dilaporkan memberi amaran penutupan perkhidmatan Facebook dan Instagram daripada pengguna Eropah sekiranya tidak dapat memindahkan data kepada simpanan pelayar yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Hal ini berpunca ekoran rang undang-undang yang diperkenalkan di negara-negara Kesatuan Eropah yang mana mereka telah melarang sebarang data penggunanya daripada di bawa keluar dari benua Eropah untuk diproses.
Sekiranya data dari pengguna Eropah tidak boleh disimpan di pelayar Amerika Syarikat, Meta tidak boleh menggunakannya bagi tujuan pengiklanan dan perkhidmatan di Facebook. Perkara ini dimaklumkan menerusi laporan kewangan tahunan Meta yang diterbitkan pada minggu lalu.
Syarikat itu memaklumkan undang-undang dan peraturan itu boleh menjejaskan pembangunan produk baharu, kemerosotan reputasi dan memaksa syarikat mengubah suai atau menghentikan cara perniagaan sedia ada.
Untuk makluman, Kesatuan Eropah memperkenalkan Peraturan Perlindungan Data Umum (GDPR) pada 2018 yang difahamkan undang-undang itu amat ketat dalam melindungi data dan privasi pengguna di sana.
Nampaknya semakin begitu tertekan Ketua Pegawai Eksekutif Meta bagi menyelesaikan perkara ini ditambah pula Facebook buat pertama kalinya telah mencatatkan pengurangan pengguna harian di laman media sosial mereka.
Penurunan mendadak saham Meta membuatkan kekayaan Mark Zuckerberg dengan nilai bersih kira-kira AS$92 bilion turun daripada AS$120.6 bilion sekali gus mengeluarkannya dari senarai 10 individu terkaya di dunia buat kali pertama sejak Julai 2015.
BACA: Akui TikTok Pesaing Terkuat, Mark Zuckerberg Mahu Kurangkan Pengguna Boomers Di Facebook
Sumber: EuroNews