
Enggan Duduk Di Blok Kerajaan Punca Tun M Dan 4 Penyokong Dipecat Daripada BERSATU
Dek kerana enggan duduk di blok kerajaan ketika Persidangan Pembukaan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu, Tun Mahathir bersama empat lagi penyokongnya telah dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
BACA: Dedah ‘Kedegilan’ Tun M Letak Jawatan Sebagai PM, Ini Antara ‘Sindiran’ Agong Di Parlimen
Berdasarkan surat yang diedarkan kepada media, Tun Mahathir telah mengingkari peraturan parti termasuklah menyertai gabungan parti lain berdasarkan Fasal 10.2.3 Perlembagaan BERSATU kerana bercanggah dengan pendirian parti.
Turut serta dalam senarai tersebut adalah Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ketua Angkatan BERSATU Anak Muda (ARMADA), Syed Saddiq Abd Rahman, Dr Maszlee Malik dan Datuk Amiruddin Hamzah.
Perkara yang dimaklumkan oleh Setiausaha Kerja BERSATU, Kapten Muhammad Suhaimi Yahya menerusi surat kepada kelima-lima ahli parlimen pada Rabu lalu yang berkuat kuasa serta merta adalah dipercayai berkait dengan kelima-limanya enggan duduk di blok kerajaan ketika sidang Parlimen pada 18 Mei lalu.
4 Mei lalu, keahlian Tun Mahathir sebagai ahli BERSATU dijangka akan digugurkan susulan tindakan menandatangani perjanjian bersama pemimpin Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu, DAP, Lim Guan Eng dan Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Menolak parti bekerjasama dengan UMNO dan Perikatan Nasional, kelima-lima mereka mahu parti kembali bersama PH.
Sumber: Astro Awani