
Enam Tahun Tersekat Dalam Tayar, Derita Buaya Ini Berakhir
Masih ingatkah lagi dengan kisah seekor buaya liar yang tersekat dalam tayar di Palu, Indonesia sehinggakan pihak berkuasa mahu memberikan ganjaran kepada mereka yang berjaya menyelamatkan buaya tersebut pada dua tahun lepas?
Penderitaan selama enam tahun yang dialami buaya liar terbabit berakhir apabila telah diselamatkan dan dibebaskan oleh para pegawai dan penduduk setempat pada Selasa lalu.
Seorang penduduk tempatan dikenali sebagai Tili berjaya membantu buaya itu dengan memasang perangkap tali yang diikat pada kayu balak, berumpankan ayam dan itik hidup.
Ketika ditemui media, Tili menceritakan dia terlebih dahulu menangkap anak buaya berkenaan sebelum mengumpannya dengan 35 ekor ayam dalam tempoh tiga minggu.

Dia juga menggunakan sejumlah burung merpati sebagai umpan dan tali untuk menangkap buaya malang itu sambil dibantu dan disaksikan orang ramai.
Menurut Tili, dua percubaan pertamanya untuk menyelamatkan buaya itu gagal kerana tali yang digunakan tidak cukup kuat untuk menampung beratnya dan kemudian beralih kepada tali nilon yang digunakan untuk menarik perahu.
“Alhamdulillah, usaha saya berhasil dan tayar itu berjaya dikeluarkan dari buaya berkenaan dan selepas itu kami bebaskannya semula ke dalam sungai,” katanya.

Sebelum ini pelbagai pihak termasuk pasukan dari luar negara telah cuba mengumpan buaya air masin yang tersekat itu dari sebatang sungai sejak 2016 selepas penduduk di situ terlihat buaya itu dengan tayar motosikal di lehernya namun menemukan kegagalan.
Antaranya termasuk hos rancangan National Geographic, Matt Wright dan pengacara Extinct or Alive on Animal Planet, Forrest Galante.
Pada tahun 2020 kerajaan tempatan mengumumkan peraduan dengan tawaran ganjaran untuk individu yang berjaya membantu buaya itu namun, membatalkan peraduan itu selepas bimbang ia mendatangkan bahaya kepada peserta.
BACA: Ganjaran Diberikan Kepada Mereka Yang Boleh Keluarkan Tayar Dari Leher Buaya
Atas kejayaan Tili membantu membebaskan buaya berkenaan, pihak berkuasa berjanji memberikannya ganjaran.
Sumber: Detik