Bersalah Bunuh Zulfarhan Terlepas Hukuman Gantung

Enam Penuntut UPNM Didapati Bersalah Sebabkan Kematian Zulfarhan, Terlepas Hukuman Gantung

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Enam Penuntut UPNM Didapati Bersalah Sebabkan Kematian Zulfarhan, Terlepas Hukuman Gantung.

Selepas empat tahun, mahkamah memutuskan 18 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) didapati bersalah atas pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh, dan mencederakan Pegawai Kadet Laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah membacakan keputusan itu berkata, seramai enam tertuduh didapati bersalah di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.

Kesemua tertuduh terlepas daripada sabitan dan hukuman gantung sampai mati atas dakwaan membunuh Allahyarham Zulfarhan.

Mereka sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori.

Kesalahan di bawah Seksyen 304 membawa hukuman penjara maksimum hingga 30 tahun dan denda.

Enam tertuduh berusia 25 tahun itu ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

“Mahkamah berpuas hati bahawa enam tertuduh telah menyebabkan kecederaan ke atas si mati (Zulfarhan).

“Bagaimanapun pendakwaan gagal membuktikan niat dalam dakwaan bunuh yang dikemukakan terhadap mereka,” katanya.

Bersalah Bunuh Zulfarhan Terlepas Hukuman Gantung
Sumber: NST

Manakala 12 lagi pelajar UPNM yang dituduh menyerang Zulfarhan untuk memaksanya mengakui mencuri sebuah komputer riba, turut didapati bersalah atas dakwaan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan.

12 tertuduh itu ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan.

KEMASKINI:

Enam penuntut UPNM terbabit dipenjarakan 18 tahun manakala 12 yang lain dipenjarakan tiga tahun.

Sumber: FMT