
Empat Bekas Pegawai Polis Kini Dikenakan Tuduhan Membunuh George Floyd
Protes besar-besaran menuntut bela atas kematian lelaki berkulit hitam, George Floyd yang berterusan sejak sembilan hari lalu di seluruh Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara telah membawa perkembangan terkini yang mana empat bekas pegawai polis yang terlibat dalam insiden kematian George Floyd akan didakwa dengan tuduhan membunuh.
Tiga pegawai polis didakwa semalam atas tuduhan membantu dan bersubahat melakukan pembunuhan darjah kedua, manakala tuduhan lebih serius dikenakan ke atas suspek utama, Derek Chauvin yang menekan lutut pada leher Floyd selama hampir sembilan minit.
Menurut pendakwa Minnesota, mereka akan mengubah pertuduhan kepada membunuh darjah kedua yang menyamai tuduhan pembunuhan, dan membawa kepada hukuman lebih keras.
Sebelum ini, Derek berdepan tuduhan membunuh tahap ketiga dan pertuduhan cuai sehingga membawa kematian.
“Saya percaya bukti yang ada membolehkan tuduhan lebih berat dikenakan iaitu pembunuhan kelas kedua.
“Kita berada di sini hari ini kerana George Floyd tidak berada bersama kita. Beliau patut berada di sini hari ini dan masih bernyawa. Malangnya ia tidak berlaku,” kata ketua peguam Minnesota, Keith Ellison.
Keluarga Floyd bagaimanapun mengemukakan rayuan supaya penunjuk perasaan elak keganasan ketika protes.
Dalam perkembangan lain, isteri kepada suspek utama dalam insiden yang mencetuskan kemarahan ramai dilapor telah memfailkan perceraian.
Peguam kepada Kellie Chauvin semalam berkata, wanita terbabit bersedia membubarkan perkahwinan mereka selepas penglibatan suaminya dalam kes tersebut.
“Dia menderita atas kematian Floyd. Kellie menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dan semua orang yang berduka di atas kematiannya.
“Kellie juga sudah memfailkan petisyen membubarkan perkahwinan mereka,” menurut kenyataan dikeluarkan pihak peguam wanita terbabit.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump kini berhadapan dengan polemik perkauman kulit putih dan warga berketurunan Afrika. Bekas Presiden negara itu, George W. Bush berkata ia adalah siri tragedi yang panjang dalam insiden pernah terjadi, mencetuskan persoalan tiada jawapan.
BACA: Jadi Punca Rusuhan Besar-Besaran Di AS, Ini Perkembangan Terkini Kes George Floyd
Sumber: CNN