Elon Musk AS$6 Bilion Krisis Kebuluran Dunia

Elon Musk Sedia Jual AS$6 Bilion Saham Tesla Kepada WFP Jika Boleh Tamatkan Krisis Kebuluran Dunia, Dengan Syarat…

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Pada Jun, Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran sekitar 42 juta orang di seluruh dunia kini di ambang kebuluran.

Analisis WFP menyatakan seramai 42 juta orang di 43 negara kini diancam risiko kebuluran yang mana empat negara – Ethiopia, Madagascar, Sudan Selata dan Yaman sedang mengalaminya.

Peningkatan kebuluran tahun ini didorong kenaikan harga barang makanan penting, ditambah dengan konflik, perubahan iklim dan masalah ekonomi sedia ada.

Elon Musk AS$6 Bilion Krisis Kebuluran Dunia
Sumber: The Borgen Project

Justeru, Pengarah WFP, David Beasley ‘mencabar’ golongan ultra kaya, terutamanya Jeff Bezos dan Elon Musk untuk tampil membantu menyelesaikan krisis tersebut.

“AS$6 bilion boleh membantu 42 juta orang di seluruh dunia yang ketika ini hampir mati akibat kebuluran.

“Bukan susah sangat untuk hulurkan bantuan. Jumlah dana itu bersamaan kira-kira dua peratus daripada nilai kekayaan Musk,” kata Beasley dalam wawancara bersama CNN pada minggu lalu.

Sebagai reaksi balas, Musk menerusi Twitter menyatakan, jika WFP boleh menjelaskan dengan lengkap bagaimana AS$6 bilion itu boleh menyelesaikan masalah paling kritikal di dunia, beliau akan menjual saham Tesla.

Bagaimanapun, Musk menyanggah dan menyatakan sekiranya sumbangan dilakukan, keterbukaan dalam pengurusan wang tersebut haruslah didedahkan secara terbuka. Supaya semua pihak dapat melihat bagaimana dana tersebut dibelanjakan.

“Saya akan jual sebahagian saham Tesla serta-merta jika WFP mampu yakinkan saya bagaimana dana itu boleh bantu penduduk yang kebuluran.

“Tetapi, kaedah perbelanjaan untuk bantu golongan tersebut perlu dilakukan secara terbuka, jadi orang ramai boleh melihat bagaimana dana itu digunakan,” ujar Musk.

Menjelas lanjut ciapan Musk, Beasley mengatakan beliau boleh memberi jaminan bahawa WFP mempunyai sistem yang telus dan perakaunan terbuka.

Pasukan anda boleh menilai usaha kami dan kami berani memberi jaminan tersebut.

“AS$6 bilion mungkin tidak dapat selesaikan kebuluran global, tapi ia mampu mencegah ketidakstabilan geopolitik, perpindahan besar-besaran dan menyelamatkan 42 juta orang daripada mati,” kata Beasley.

Nilai kekayaan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla dianggarkan berjumlah AS$311 bilion (RM1.3 trilion) berdasarkan Indeks Bilionair Bloomberg, sekali gus menjadikan beliau sebagai manusia terkaya dunia.

Minggu lalu, Tesla menjadi syarikat keenam dalam sejarah AS yang mencapai paras pasaran AS$1 trilion, syarikat kedua terpantas mencapai kejayaan itu selepas Facebook.

Sumber: CNN