
Elaun Kritikal Mansuh Kerana Tak Tepati Kriteria Tertentu – JPA
Pengumuman pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) bagi 33 skim perkhidmatan bagi penjawat awam yang baru dilantik mulai Januari 2020 oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi sedikit ketegangan terutama dalam kalangan para pakar perubatan.
Pemansuhan itu menyebabkan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) melancarkan petisyen bagi membantah pemansuhan elaun kritikal itu. Menurut sumber, pemansuhan BIPK kepada kumpulan doktor junior bakal mengakibatkan sokongan moral mereka terganggu, lebih-lebih lagi berdepan dengan kesukaran untuk menjawat jawatan tetap.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Suhaime Mahbar berkata, pemansuhan BIPK sebanyak RM750 itu disebabkan ia tidak lagi menepati kriteria tertentu pemberian elaun tersebut.
Jelasnya, BIPK diwujudkan pada 1992 berikutan kekurangan bekalan tenaga kerja dalam sektor tertentu ketika itu yang bertujuan untuk menarik graduan berkhidmat dengan kerajaan.
“Kritikal bukan bermaksud tugas itu sukar, tetapi kepakaran itu sukar untuk diperolehi.
“Contohnya, dahulu tidak ramai graduan perubatan, jadi elaun ini diwujudkan untuk menarik mereka berkhidmat dengan kerajaan. Tetapi ketika ini permohonan untuk menjadi pegawai perubatan berjumlah 24,756, melebihi keperluan perjawatan iaitu 15,268,” katanya kepada Bernama.
Suhaime menjelaskan pemansuhan sesuatu elaun bukanlah satu perkara baharu, sebaliknya kajian setiap lima tahun dilakukan bagi menentukan ia mengikuti keperluan semasa. Melangkah ke era Revolusi Industri 4.0, mungkin BIPK akan diwujudkan semula bagi menarik pakar dalam bidang berkaitan untuk berkhidmat dengan kerajaan.

“Apa yang perlu difahami ialah elaun-elaun yang diberikan tidak bersifat kekal dan boleh ditarik balik mengikut keadaan semasa, tetapi ramai yang menganggap ia sebagai hak mutlak mereka,” kata Suhaime.
Selain bidang perubatan, skim perkhidmatan seperti arkitek, pegawai laut, jurutera dan juruterbang juga tidak lagi menepati kriteria pemberian asal BIPK kerana bilangan yang memohon jauh lebih tinggi daripada keperluan semasa jawatan.
Penerima BIPK sedia ada tidak terjejas dan akan terus menikmati pembayaran BIPK mengikut kadar sedia ada yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 17 Tahun 2007 sehingga meninggalkan perkhidmatan.
Sumber: Awani