Elak Pelaburan Jadi Sia-Sia, Ini Cara Yang Perlu Anda Tahu Sebelum Beli Rumah Lelong

Elak pelaburan jadi sia-sia, ini cara yang perlu anda tahu sebelum beli rumah lelong. Ramai daripada kita tertanya-tanya bagaimana cara pembelian hartanah atau proses untuk mendapatkan hartanah yang dijual secara lelong kerana harganya yang jauh lebih murah daripada jenis hartanah lain.

BACA: BNM Perluas Kriteria Peminjam Beli Rumah Mampu Milik

Bagi mengelakkan pelaburan anda menjadi sia-sia, ada beberapa cara yang perlu anda tahu sebelum membeli rumah lelong.

Secara kasarnya, lelongan hartanah adalah satu proses kompetitif terbuka dalam pasaran yang digunakan untuk memindahkan hak pemilikan daripada satu pihak ke pihak yang lain secara sah.

Elak Pelaburan Jadi Sia-Sia, Ini Cara Yang Perlu Anda Tahu Sebelum Beli Rumah Lelong
Sumber: FB KL Selangor Bank Lelong Property

Sebelum mengetahui langkah-langkah yang perlu diambil untuk menyertai lelongan hartanah, anda kena tahu terdapatnya dua jenis lelongan hartanah:

1. Lelongan Perjanjian Pinjaman Dan Serah Hak yang juga dikenali sebagai ‘loan agreement cum assignment’ (LACA)

  • Lelongan yang dilakukan oleh bank untuk hartanah yang tidak mempunyai hak milik individu atau srata.
  • Jumlah deposit perlu diserahkan kepada pelelong adalah 5% daripada harga hartanah.
  • Jika lelongan tak berjaya dapatkan pembeli, harga rizab pada lelongan seterusnya akan berkurangan 10% daripada harga sebelumnya.
  • Baki belian perlu diselesaikan dalam tempoh 90 hari selepas bidaan berjaya.

2. Lelongan Perjanjian Bukan Pinjaman Dan Serah Hak atau dikenali sebagai ‘non-loan agreement cum assignment’ (Non-LACA)

  • Lelongan melalui Mahkamah Tinggi untuk hartanah yang mempunyai hak milik individu atau strata
  • Jika tiada pembida, lelongan susulan akan dijalankan enam bulan kemudian.
  • Jika lelongan tak berjaya dapatkan pembeli, harga rizab pada lelongan seterusnya akan berkurangan 10% daripada harga sebelumnya.
  • Baki belian perlu diselesaikan dalam tempoh 120 hari selepas bidaan berjaya.

Cara atau langkah yang perlu anda tahu sebelum membeli rumah lelong:

1. Kenal pasti hartanah terlebih dahulu

Kenal pasti dahulu semua maklumat mengenai hartanah – lokasi dan sebagainya supaya anda boleh melakukan perbandingan sama ada ianya berbaloi atau tidak untuk dibida selain daripada layak atau tidak anda untuk membeli hartanah tersebut.

2. Semak maklumat hartanah bersama pemaju dan pejabat hartanah

Pastikan butiran maklumat hartanah anda semak dahulu bersama pemaju dan pejabat tanah – nombor lot, alamat, status hak milik, harga rizab lelongan dan yang paling penting ialah Pengisytiharan Jualan (POS).

Elak Pelaburan Jadi Sia-Sia, Ini Cara Yang Perlu Anda Tahu Sebelum Beli Rumah Lelong 1
Sumber: FB KL Selangor Bank Lelong Property

3. Bantuan peguam

Mendapatkan khidmat peguam adalah penting supaya urusan pembelian rumah lelong lebih teratur terutamanya berkaitan dengan cukai taksiran dan cukai tanah.

Peguam bukan sahaja akan menyelesaikan urusan pembelian tetapi juga membantu anda mengkaji pembayaran penyelenggaran serta terma dan syarat yang terdapat dalam dokumen POS.

4. Sediakan deposit dan dokumen penting untuk proses lelongan 

Kad pengenalan dan draf bank adalah dua dokumen terpenting yang perlu anda bawa ke lelongan hartanah. Jangan lupa sediakan juga deposit ya.