Elak Jadi Mangsa, Ini Cara Lebih Mudah Kenal Pasti Akaun ‘Scammer’ Melalui Aplikasi Semak Mule

Elak Jadi Mangsa ‘Scammer’, Ini Cara Kenal Pasti Akaun Melalui Aplikasi Semak Mule.

Kerap kali, malah saban hari kita dihidangkan baik di dada akhbar atau portal berita dengan kisah masyarakat menjadi mangsa penipuan atau dalam kata lain wang simpanan lesap.

Kerugian mereka bukan ribuan atau puluhan ribu ringgit, tetapi ada juga mencecah ratusan ribu mahupun jutaan ringgit.

Golongan mangsa pula bukan calan-calang, ada yang bergelar doktor, pensyarah, guru semuanya terkena dengan penipuan scammer.

Secara logik, kita pasti sukar untuk mempercayai bagaimana mudahnya wang simpanan dikeluarkan dan dipindahkan ke akaun pihak lain yang tidak dikenali, selain tidak pernah pun bersua muka.

Tetapi, sindiket penipuan ini licik kerana mereka menggunakan taktik ‘menekan’ mangsa secara psikologi kononnya terbabit dalam kesalahan jenayah atau mempunyai masalah kewangan.

Dalam keadaan itu, mangsa sama ada berpelajaran tinggi atau sebaliknya akan terkejut atau panik lalu melayan dan mengikut saja arahan si penipu terbabit.

Sehubungan itu, bagi membendung masyarakat agar peka dengan jenayah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memperkenalkan aplikasi Semak Mule bagi memeriksa akaun bank dan nombor telefon yang digunakan sindiket penipuan.

Aplikasi Semak Mule mula diperkenalkan pada Januari 2019 dan boleh dimuat turun menerusi telefon pintar. Masyarakat boleh akses aplikasi ini di mana jua berada untuk membuat semakan awal sebelum mereka menjadi mangsa penipuan.

Cara Semak Mule Aplikasi Scammer
Sumber: Amanz

Cara semak nombor akaun scammer melalui aplikasi Semak Mule

Tidak ramai orang tahu kewujudan portal PDRM ini yang berada di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK).

Bahagian JSJK ini, dalam Bahasa Inggerisnya dipanggil Commercial Crime Investigation Department (CCID).

CCID portal atau Semak Mule ini membolehkan seseorang buat semakan penipuan yang berkaitan dengan:

  • Nombor akaun bank
  • Nombor telefon

Bagaimanapun, aplikasi Semak Mule hanya boleh dimuat turun di platform Google Playstore setakat ini.

Untuk membuat semakan nombor telefon scammer di portal pangkalan data PDRM, boleh rujuk di pautan bawah.

BACA: Kenal Pasti Akaun ‘Scammer’ Melalui Laman Web PDRM Ini

Dalam soal ini, seseorang itu jangan sesekali memberi butir peribadi atau maklumat akaun kepada orang lain terutama mereka yang tidak dikenali.

Malah, jangan percaya dengan panggilan telefon mendakwa pegawai polis, pegawai bank atau pegawai mahkamah memaklumkan akaun bank anda digunakan pihak lain.

Sebaiknya anda perlu membuat semakan dengan pihak berkuasa terlebih dahulu jika menerima panggilan atau SMS meragukan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipu seterusnya.