
Elak 8 Perkara Ini Daripada Jadi ‘Tetamu’ Hospital Di Musim Raya
Setiap kali musim perayaan tiba, pasti ada sahaja berita kurang gembira yang menimpa keluarga atau disekeliling kita. Pada hari raya, mestilah kita mahu perkara yang positif dan baik-baik sahaja dengan orang sekeliling.
Apabila tibanya musim perayaan, kita akan menziarahi rumah kenalan dan saudara yang jarang berjumpa dan bukannya menziarahi hospital, betul tak?
Memandangkan tinggal beberapa hari sahaja lagi Syawal bakal tiba, Dr Ahmad Zakimi yang merupakan salah seorang doktor aktif bersama #MedTweetMY berkongsi 8 perkara yang boleh dielakkkan daripada anda membanjiri Jabatan Kecemasan di musim perayaan.
1. Sambung Ubat
Untuk pesakit-pesakit kronik seperti diabetis, darah tinggi, sakit jantung, dan lain-lain pastikan bawa semua ubat jika anda ingin balik ke kampung. Jika stok ubat anda kehabisan, sila sambung terus ubatan di klinik dan pastikan ia mencukupi sebelum balik kampung.
2. Kemalangan Jalan Raya
Memandangkan terlalu banyak kenderaan di jalan raya ketika musim perayaan, pastikan berhati-hati ketika memandu. Utamakan keselamatan di jalan raya. Pastikan juga keadaan kenderaan diselenggara dengan baik.
3. Kemalangan Di Rumah
Aktiviti memasak ketika hari raya sudah menjadi lumrah rakyat kita. Bagi kaum ibu pastikan jaga keselamatkan anda di dapur. Periksa dan pastikan tiada kebocoran gas yang boleh mengundang letupan dan kebakaran.
4. Mercun
Elakan memberi kanak-kanak bermain mercun yang berbahaya. Kawal anak-anak anda diluar sana.
* Sekarang ini pun sudah ada berita kanak-kanak terputus jari akibat mercun.

5. Darah Tinggi Dan Kencing Manis Yang Tidak Terkawal
Pastikan anda tidak tinggalkan ubatan semasa beraya. Ambil ubat ikut aturan dan arahan daripada doktor serta jaga pemakanan. Untuk pesakit kencing manis elakkan daripada makan makanan manis.
Ingat sedikit kalau nak makan kuih raya. Gula berkilo-kilo tu. Bagi pesakit darah tinggi, elakkan daripada makanan yang masin dan berkolestrol tinggi.
6. Keracunan Makanan Dan Jangkitan Usus (Acute Gastroenteritis)
Seringkali berlaku di musim perayaan. Pastikan makan makanan yang bersih dan elok. Penyediaan makanan juga perlu bersih, cermat dan sedap.
7. Minta MC
Kami akan keluarkan MC hanya untuk pesakit yang betul-betul sakit dan perlu berehat. Untuk pesakit yang hanya ‘MC seekers’ minta maaf ya, anda sememangnya tidak akan dilayan. Kami ini doktor yang berpengalaman dan tahu yang mana kaca atau permata.
8. Penyakit Berjangkit
Sememangnya penyakit berjangkit seperti jangkitan respiratori (acute pharyngitis, acute tonsilitis, pneumonia), diphtheria, measles (campak), chicken pox, HFM disease (penyakit kaki, tangan & mulut) dan lain-lain mudah dijangkiti dan merebak di musim raya.
Jadi perlu jaga kebersihan diri dengan membasuh tangan menggunakan sabun atau hand sanitizer dan mandi jika perlu. Juga jangan benarkan tetamu mencium atau bermain dengan anak-anak kecil yang belum divaksinkan tanpa kebenaran ibubapa.
Apabila hendak melakukan sesuatu perkara, apa yang penting ukur baju di badan sendiri dan sentiasa peka dengan sekeliling supaya raya anda bukanlah terlantar di hospital.

Sumber: Dr Ahmad Zakimi