Lemas Sungai

Elak 3 Lokasi Rekreasi Ini Yang Dikenal Pasti Paling Berisiko Berlaku Insiden Lemas

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Terdapat 3 lokasi perkelahan popular di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, Selangor yang dikenal pasti menjadi kawasan yang kerap dilaporkan berlaku kejadian kes mati lemas dan terperangkap dalam kepala air untuk sepanjang tahun 2020 hingga 2022.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, kawasan tersebut adalah Sungai Batang Kali, Sungai Chiling dan Sungai Pertak.

“Secara umumnya, kesemua sungai atau jeram berisiko untuk berlaku kepala air atau berlaku insiden lemas namun begitu jika dikategorikan sebagai lokasi hotspot (titik panas), ia adalah (lokasi di mana) kejadian yang berlaku lebih dari sekali.

“Sekiranya terperangkap di kepala air, hubungi pasukan penyelamat atau tunggu sehingga kepala air reda dan jangan sekali-kali menyeberangi sungai pada waktu itu,” jelasnya.

Tambahnya lagi berdasarkan statistik, sepanjang tempoh itu juga sebanyak 15 kes mati lemas dan enam kes terperangkap dalam kepala air dilaporkan di Selangor melibatkan 10 kawasan rekreasi di sungai, air terjun, hutan lipur dan lata.

Sungai Batang Kali mempunyai rekod kes lemas paling tinggi iaitu sebanyak lima kes dan empat kes melibatkan mangsa yang terperangkap dalam kepala air.

Oleh yang demikian, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada terhadap tanda-tanda kepala air sebelum memulakan aktiviti perkelahan atau sebarang aktiviti rekreasi di kawasan berhampiran sungai.

Lemas Sungai

BACA: ‘Kita Masuk Berbayar, Sediakanlah Lifeguard’ – Luahan Saksi Kejadian Kanak-Kanak Lemas Dalam Kolam Rekreasi

Sumber: Majoriti