
Ebit Lew Luah Rasa Sedih, Pasar Raya Harga Murah Elews Mart Dipecah Masuk
Hasrat pendakwah bebas, Ebit Lew ingin membuka 10 cawangan pasar raya dengan menawarkan harga termurah di pasaran bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan tercapai sejak dibuka pada pertengahan Julai lalu.
Pembukaan pasar raya yang dikenali sebagai Elews Mart itu mendapat sambutan cukup luar biasa. Orang ramai yang menanti-nantikan pembukaan pasar raya ini sanggup berbaris panjang untuk mengambil peluang berbelanja susulan promosi murah pelbagai barangan.
Walau bagaimanapun, salah sebuah cawangan Elews Mart iaitu di Sungai Buloh telah dipecah masuk, awal pagi tadi. Perkara ini disampaikan sendiri Ebit Lew di Instagram miliknya.
Menurut Ebit, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kedai serbanekanya itu dimasuki dua individu.
“Sayu pagi ini bila dapat tahu Elewsmart Sg. Buloh kena pecah masuk 3.30 pagi.
“Ada rakaman CCTV, dua lelaki pakai topi keledar,” katanya menerusi satu entri di Instagram.
Beliau juga turut berkongsi sekeping foto keadaan premisnya yang dipecah masuk. Difahamkan, sejumlah wang tunai dan barangan jualan berjaya dibawa keluar suspek.
Biarpun sedih, Ebit dalam entri berkenaan, menyifatkan apa yang terjadi mempunyai hikmah tersendiri.
“Ya Allah aku mengadu sedih dan susahku hanya padaMu. Semoga Allah beri pelajaran padanya.
“Pohon doa semua ya, biar semua jadi asbab kebaikan dan hidayah. Pasti ada rahmat disebalik semuanya.
“Ya Allah ganjarkanlah atas musibah ini dan gantikanlah dengan sesuatu yang lebih baik,” tulisnya.
Melihat pada ruangan komen, rata-rata bersimpati dengan musibah yang melandanya.
“Silap oranglah siapa yang pecah masuk tempat Ustaz Ebit. Ramai yang doakan ni, doa orang teraniaya makbul. Semoga ada hikmah,” tulis salah seorang pengikutnya.
“Come on Malaysian, nak duit usaha bukan ambil harta orang.”
“Semoga pencuri diberi taufiq dan hidayah untuk bertaubat. Semoga Allah memurahkan rezeki Ustaz Ebit.”
https://www.instagram.com/p/CEqC1ADl_FH/
Trending now



