Dunia Bergantung Pada Sarung Tangan Getah Malaysia Melawan COVID-19 – Kedutaan AS

Dunia Bergantung Pada Sarung Tangan Getah Malaysia COVID-19
Sumber: FMT

Tahukah anda, Malaysia merupakan negara pengeluar getah kelima terbesar di dunia selepas Indonesia, Thailand, Vietnam dan India?

Dalam usaha menangani penularan wabak COVID-19 yang membadai seluruh negara terutama negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan negara Eropah yang lain, sarung tangan getah sememangnya menjadi peranti penting dalam kalangan pakar perubatan dan beberapa sektor lain, selain penggunaan topeng hidung dan mulut serta cecair pembasmi kuman.

Dunia Bergantung Pada Sarung Tangan Getah Malaysia COVID-19
Sumber: Twitter

Kedutaan AS di Malaysia telah berkongsi satu ciapan di Twitter rasminya, mengatakan bahawa 65 peratus sarung tangan getah yang digunakan oleh petugas perubatan di negaranya serta sebahagian negara lain adalah dihasilkan dari Malaysia.

“Melalui penghasilan sarung tangan dan lain-lain produk perubatan, dunia bergantung pada Malaysia untuk melawan COVID-19,” tulis Kedutaan AS yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

Pada Rabu, negara Uncle Sam itu telah menarik semula pengharaman sarung tangan getah Malaysia selepas menerima kenaikan permintaa yang tinggi untuk membendung wabak COVID-19.

AS sebelum ini menuduh WRP Asia Pacific Sdn. Bhd menggunakan buruh paksa di kilangnya di Sepang, Selangor. Pertuduhan ini kemudiannya diikuti dengan langkah pengharaman sarung tangan getah dari syarikat itu pada September 2019.

Selepas penarikan status pengharaman sarung tangan getah buatan syarikat berkenaan, semua sarung tangan getah yang diperbuat selepas 16 Mac 2020 dibenarkan masuk ke semua pintu masuk pelabuhan di AS atas alasan ‘WRP Asia Pacific tidak lagi menghasilkan sarung tangan getah menggunakan buruh paksa’.

WRP Asia Pacific, yang mempunyai kapasiti menghasilkan lebih daripada 11 bilion produk setahun merupakan punca utama Malaysia menjadi pengeluar terbesar sarung tangan getah dunia.

Sementara itu, Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (MPIC) Malaysia mencadangkan semua pihak terbabit dengan industri getah beroperasi sepenuhnya dari 7 pagi hingga 10 malam bagi mengelak berlakunya masalah penjualan hasil torehan dan gangguan sektor berkenaan.

Sebanyak 21 juta sarung tangan akan diagihkan kepada pasukan dan agensi yang terbabit dalam barisan hadapan menangani COVID-19. Setakat ini tidak timbul isu kekurangan bahan berkenaan kerana kilang pengeluar masih beroperasi seperti biasa.

Sumber: CNA, HM