
Duit Palsu – Orang Ramai Diminta Lebih Berhati-Hati Urusan Jual Beli Secara COD
Satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian urusan jual beli secara ‘Cash on Delivery’ (COD) yang melibatkan duit palsu baru-baru ini.
Dalam kejadian tersebut, sebahagian wang yang diterima oleh seorang penghantar makanan melalui transaksi penjualan telefon pintar di sebuah pasar raya di Bandar Teknologi Kajang didapati palsu.
Pada mulanya, mangsa yang mahu menjual telefon itu untuk dijadikan modal perniagaan telah mengiklankan telefon bimbit tersebut di Facebook sebelum seorang wanita tertarik dan mahu membeli telefon itu.
Setelah bersetuju dengan tawaran harga yang diberikan, mangsa kemudiannya berjumpa dengan suspek yang ditemani oleh seorang lelaki yang menaiki sebuah kereta KIA Cerato berwarna coklat.
Ketua Polis Kajang, Mohd Zaid Hassan, yang dipetik dari sumber FMT berkata, “Suspek kemudian menyerahkan wang tunai RM1,950 kepada mangsa yang terdiri 17 keping not RM100 dan lima keping not RM50.
“Setelah selesai berurusan, mangsa pergi ke bank untuk memasukkan wang itu melalui mesin tunai deposit (CDM), namun mendapati semua not RM100 diterima adalah palsu selepas tidak diterima mesin itu,” jelasnya.
Ini bermakna semua not RM100 yang diterima oleh mangsa adalah wang palsu manakala hanya lima keping not RM50 adalah tulen.
Kes disiasat mengikut seksyen 489B Kanun Keseksaan dan orang ramai turut dinasihatkan agar berwaspada dengan modus operandi penipuan menggunakan wang disyaki palsu seperti ini.
BACA: Hampir 99% Sama Dengan Yang Tulen, Netizen ‘Seram’ Tonton Video Kenal Pasti Duit Palsu RM100 Ini
Sumber: FMT