Duit Mati

“Duit Mati” Dalam Bisnes – 3 Contoh Situasi & Bagaimana Cara Untuk Mengelakkannya

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Satu perkongsian ilmu dalam bidang perniagaan telah dibuat oleh seorang Penasihat Akaun Bisnes SME, Saifullah Suratmin dari Outsource Accounting.

Melalui perkongsian di Facebooknya tersebut, telah diajar mengenai contoh-contoh berlakunya situasi “duit mati” dan cara-cara untuk mengelakkannya dari terjadi.

Duit pun boleh ‘hidup’ dan boleh ‘mati’ ke? Jom ikuti penjelasannya berikut yang sangat berfaedah dan boleh dijadikan panduan untuk mereka yang ingin mendalami lagi ilmu bisnes.

Duit Mati

Bahaya Duit Mati Dalam Bisnes

Tuan puan, apabila kita buat bisnes ada satu perkara yang mesti kita elakkan iaitu situasi duit mati lebih-lebih lagi bagi kita yang punya modal kecil atau kita ini baru sahaja mula buat bisnes. Maksud duit mati ini ialah duit itu sudah tidak boleh dikembangkan, dipusing atau dimanfaatkan lagi dalam bisnes. Contoh situasi duit mati dalam bisnes ini ada tiga iaitu:

  1. Membuat ubah suai kedai yang keterlaluan

Masuk kedai, buat ubah suai dengan kos yang mahal. Lebih malang lagi perabot dan barang-barang ubah suai tidak boleh dibuka atau dipindahkan apabila kita hendak berpindah. Kaunternya cantik, mejanya cantik, almari dan raknya juga cantik tapi tidak boleh dipindahkan.

  1. Stok tidak laku

Stok tidak laku ini tuan puan boleh jadi barah dalam bisnes. Stok ini sebaiknya kita cuma simpan paling lama cuma 6 bulan sahaja. Selepas 6 bulan kita buat promosi, dapatkan modalnya semula. Tidak untung pun tidak mengapa janji duitnya kita dapat semula. Sebelum jadi sampah, kita cepat-cepat jadikan stok itu duit.

  1. Memberi hutang kepada pelanggan

Ini masalah paling berat sekali dalam situasi duit mati. Apabila kita jual secara kredit atau hutang, nilai duit itu dipegang oleh pelanggan kita. Kita cuma pegang sekeping kertas yang menyatakan bisnes ABC ada hutang dengan kita. Lebih-lebih lagi untuk bisnes kecil amat mustahil untuk ambil tindakan sivil. Tuan puan, tidak mengapa kita untung sikit asalkan kita dapat duitnya cepat.

Tiga cara untuk mengelak situasi duit mati iaitu:

  1. Untuk mereka yang ada modal kecil, jangan masuk dalam bisnes yang memerlukan kita untuk membuat ubah suai kedai yang terlalu banyak. Pastikan juga semua ubah suai atau kerja renovasi itu boleh dibuka dan dipasang semula di kedai lain jika kita.
  2. Jika kita masuk dalam bisnes yang mengikut trend, pastikan kita sudah ada pengalaman dalam “entry dan exit” bisnes. Kita tahu bila nak masuk dalam trend baru dan bila nak keluar dari trend lama. Ini supaya kita tidak simpan stok lama. Kita tahu bagaimana nak kendalikan operasi bisnes jenis ini.
  3. Belajar urus duit bisnes kecil dahulu baru buat bisnes besar. Tuan puan jangan mimpilah boleh urus duit besar kalau tidak ada pengalaman urus duit kecil. Caranya, belajar dulu bisnes dropship. Tidak perlu simpan stok, belajar urus duit, belajar urus sumber, dan belajar masuk dan keluar dari bisnes.

Lawan duit mati ialah duit hidup. Maksud duit hidup ialah duit itu kita boleh pusing-pusingkan. Bukan sahaja pusing, malahan pusing dengan laju. Untung kecil tidak mengapa, modal keluar pagi tadi petang sudah ada untungnya. Itu lebih baik.

BACA: Formula Diajar Oleh ‘Sifu Bisnes’ Yang ‘Tak Boleh Pakai’ Tapi Masih Kerap Diamalkan

Sumber: Saifullah Suratmin