
Duduk Sepanjang Hari Punca Punggung Jadi Leper
Memiliki punggung yang montok dan padu merupakan idaman semua tanpa mengira jantina. Merupakan antara aset yang paling berharga, ramai yang sanggup berhabis gara-gara mahukan punggung yang montok.
Tanpa sedar, sebenarnya tabiat harian juga banyak mempengaruhi menyebabkan punggung menjadi aset yang tidak boleh dibanggakan.
Seorang ahli terapi fizikal, Abby Bales mendedahkan di New York Post bahawa tabiat duduk di meja kerja selama lapan jam ke atas boleh menyebabkan punggung anda menjadi leper.
Ini kerana semakin lama individu itu duudk tanpa bergerak, semakin beliau sukar untuk mengaktifkan glutes bagi mengekalkan bentuk pinggul dengan teori, “semakin lama anda duduk, semakin tinggi risiko untuk memiliki punggung yang leper”.
Bukan hanya itu, tabiat duduk terlalu lama juga boleh membawa kepada keadaan kesihatan yang lain seperti tekanan darah tinggi, serangan jantung dan kemurungan.
Jadi bagaimana mahu atasi masalah punggung leper ini?
Pekerja pejabat kebanyakannya tidak mempunyai masa untuk bersenam. Oleh itu, luangkan masa selama lima minit pada setiap jam untuk berdiri bagi mengaktifkan otot-otot pinggul agar tidak menjadi leper dan meningkatkan keanjalannya.
Bales turut memberi nasihat kepada sesiapa yang tidak mempunyai masa rehat untuk berdiri lebih tegak, letakkan kusyen pada separuh badan kerusi dan berjalan bagi mengelakkan perkara ini berlaku.
Mudah bukan? Jadi selepas ini jangan pula persoalkan kenapalah punggung anda semakin leper dan tidak menarik. Inilah sebabnya.
Sumber: Free Malaysia Today