
Dua Laporan Polis Dibuat Terhadap Menteri Hal Ehwal Agama, Ini Sebabnya
Dua Laporan Polis Dibuat Terhadap Menteri Hal Ehwal Agama.
Melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menjadi satu kesalahan besar di mata masyarakat demi memutuskan rantaian penularan COVID-19. Tidak kiralah mereka yang berjawatan tinggi atau golongan biasa, semuanya tidak terlepas daripada hukuman.
Terkini, polis mengesahkan menerima dua laporan berhubung dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri melanggar PKP yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, pihaknya kini telah membuka Kertas Enkuiri Polis (KEP) untuk tujuan siasatan awal.
“Buat masa ini, hanya rakaman percakapan pengadu diambil berhubung perkara tersebut.
“Keterangan bagi pihak lain akan diambil setelah mendapat arahan daripada pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, tular di media sosial Facebook gambar laporan polis yang dimuat naik individu menggunakan akaun bernama Azmi Arshad.
Dalam laporan yang dibuat pada 3 Mei lepas, seorang wanita mendakwa membaca page Facebook akaun Dr Zulkifli Al-Bakri yang memuat naik pelbagai aktiviti dilakukan sejak dilantik menjadi Menteri Agama.
Dalam laporan itu, wanita itu menyatakan terdapat pelanggaran PKP dilakukan Zulkifli antaranya pada 31 Mac apabila memuat naik gambar beliau menyampaikan surat pertukaran kepada pegawai kanan Jakim dan pada 13 April memanggil Datuk Dr Fathul Bari mengadakan mesyuarat dan bergambar tanpa mengamalkan penjarakan sosial dan banyak lagi.
Malah pada 14 April juga menteri agama berkenaaan didakwa memanggil kenalannnya Dr. Rozaimi Ramli, Dr. Ahmad Kamil Jamilin, Dr. Fathul dan lain lain untuk bermesyuarat di pejabatnya dan aktiviti berkenaan didakwa dipaparkan melalui facebook menteri berkenaan.
Dr Zulkifi juga dalam laporan itu didakwa menyampaikan bantuan kepada masyarakat orang Asli di pedalaman Terengganu dan dilihat mengadakan kenduri bersama pegawainya yang mana semua aktiviti berkenaan dipaparkan secara terbuka menerusi Facebook beliau.
Justeru, pengadu menyifatkan kesemua tindakan menteri berkenaan itu adalah satu perlanggaran serius PKP dan mahu polis menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu.
Setakat ini, media tempatan sedang cuba menghubungi Dr Zulkifli untuk mendapatkan maklum balas berhubung perkara tersebut.
Sumber: Awani