
Dr Radzi Jidin Arah Siasat Segera Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) Selepas Gambar ‘Panas’ Ini Tular
Satu hantaran di Facebook yang memaparkan gambar makanan yang diterima oleh seorang pelajar di bawah program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) menimbulkan rasa tidak puas hati ramai pihak.
Gambar yang dikongsi oleh Zurina Hassan tersebut memperlihatkan bungkusan makanan yang diberikan kepada seorang pelajar di bawah program RMT yang mengandungi hanya nasi putih dan kuah!
YA! Nasi putih dan kuah sahaja. Mungkinkah pelajar tersebut terlupa untuk mengambil bungkusan kedua yang mengandungi lauk? Atau mungkin ada seketul ayam goreng atau udang di sebalik timbusan nasi tersebut?
Jawapan yang diterima amat menyedihkan – TIDAK. Memang itu saja. Hanya nasi dan kuah (dan kelihatan juga mungkin satu hirisan karot beserta beberapa kepingan kubis bunga?)
Ikuti kisah yang dikongsi oleh Zurina Hassan berikut:

“Cucu saudara bawa balik dekat mak dia makanan RMT.
Sadis betul. Makanan apa yang diberi untuk budak-budak dekat sekolah? Adakah peruntukan RMT terlalu sedikit sampai pengusaha kantin beri makanan begini kepada budak-budak?
Sebelum ini budak-budak mengadu makanan RMT tidak sedap, kita pun beritahu kena bersyukur sebab masih ada makanan. Tapi, ini makanan untuk siapa? Ayam?
Tidak tahu salah siapa dalam hal begini. Tapi saya rasa perlu disiasat kenapa diberi makanan seperti ini kepada penerima RMT. Sudahlah senarai penerima RMT wajib sekolah hari-hari tanpa penggiliran. Makanan begini yang dikatakan “mampu memacu pendidikan kita?”
Tag: Dr Maszlee Malik Dr Radzi Jidin .
Nota: Hal begini bukan hendak menyalahkan kantin sepenuhnya. Bajet rendah, kementerian harus beri bajet baru supaya tiada pihak tertekan. Pihak kantin gembira, anak-anak makan dengan senang hati.”

Dalam ruangan komen, beliau kemudiannya menyambung lagi:
Yang buat andaian budak itu sudah makan lauk sebagainya, jawapannya tidak. Dia memang bawa balik lebihan ke rumah. Kiranya as where as it is. Boleh tengok gambar ya, ada nampak seperti diusik oleh seseorang? Budaknya sangat cermat, boleh nampak makanan tu masih elok kedudukannya walaupun sudah dibawa balik?
Kedua, sebelum itu, mak dia sudah tanya berkali-kali, takut anak dia sudah makan lauk (jika ada) dahulu. Itu yang dia sedih memikirkan ‘jika’ makanan begitu hari-hari dihidangkan buat anak dia (saya meletakkan ‘jika’ ya.. ‘jika’.. jadi bukan menyalahkan sesiapa). Tunggu siasatan. Telah diajukan pada AJK (harap bukan nanti alasan semata-mata – perkara biasa kalau nak tutup kes).
Maaf kalau ada kata saya tutup komen sebab maybe wrong somewhere, sebenarnya takut dengan komen netizen yang agak melampau bagi saya. Kesian emak budak tu baca.
Actually kisah RMT yang teruk ni bukan kali ni je, memang selalu sahaja ada di mana-mana satu Malaysia. Kita mungkin rasa eh, tak mungkin, tapi realitinya memang ada kes, boleh rujuk kepada PPD. Kenapa sampai ke PPD kalau kata sekolah memantau setiap kali? Sebab ada orang boleh accept, ala makanan budak je, budget rendah je. Ini memang terjadi.
By the way, saya kenal friendlist saya yang selalu komen baik-baik, kalau tegur pun baik. Gaduh pun manja-manja je. Jadi sebab itu saya limit komen pada friendlist saya sahaja. Saya pun jenis kalau komen mungkin ada 1-2 yang harsh selama saya berFB ni, selain itu hanya komen kelakar, mengusik atau komen baik-baik walaupun teguran.
Maaf ya. Peace!”
Rata-rata komen yang diterima dari netizen pula menunjukkan rasa simpati dan marah:
“Sedihnya kak. Kucing saya pun makan ada lauk.” – Siti Salha Rosman
“Kalau macam ni, saya pun tak nak makan. Melampau sangat.” – Norhaslinda Kamaruddin
“Tak patut sangat bagi makanan macam tu. Tujuan RMT pun untuk pastikan pelajar dapat makan berzat supaya dapat belajar dengan baik. Sepatutnya Guru Besar dan PIBG buat pemantauan dan sekali-sekala buat pemeriksaan mengejut di kantin.” – Hannan Nie
mStar pula melaporkan, Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, Kementerian Pendidikan tidak akan berkompromi dalam perkara yang melibatkan kebajikan pelajar.
“Saya memandang serius dakwaan tersebut dan telah arahkan supaya siasatan lanjut dibuat, termasuk mengenalpasti sekolah yang terlibat,” jelas beliau.
RMT sebenarnya telah dilaksanakan pada tahun 1979 lagi bagi tujuan untuk menyediakan makanan harian bagi pelajar miskin di sekolah.
Pada tahun 2020, penambahbaikan telah dibuat oleh Kementerian Kesihatan yang menyarankan lebih 20 menu hidangan sihat untuk disediakan oleh pihak kantin sekolah.
BACA: Remuk Hati Melihat Betapa Lemahnya Keadaan Badan Si Kecil Selepas Makan Ayam Ini
Sumber: Zurina Hassan, mStar