
Dr Noor Hisham Disenarai Antara Tiga Doktor Terbaik Dunia Tangani Krisis COVID-19
Dalam pada beberapa golongan berpangkat yang mengkritik kewibawaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, disenarai sebagai antara doktor terbaik dan diyakini dunia oleh China Global TV Network (CGTN), berdasarkan kewibawaan beliau menangani krisis COVID-19.
Menurut laporan CGTN, Dr Noor Hisham adalah antara tiga doktor terulung peringkat global dalam perang menentang koronavirus, selain pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat (AS), Dr Anthony Fauci dan Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand, Ashley Bloomfield.
Ketiga-tiga mereka dipuji kerana sejak beberapa minggu lalu, mengenengahkan penampilan yang ‘tenang, jelas dan meyakinkan’ bagi menyalurkan maklumat serta fakta kepada orang ramai mengenai pendemik ini.
Menurut CGTN, mereka bukan menteri Kabinet, namun berjaya muncul sebagai muka hadapan negara masing-masing dalam memerangi wabak COVID-19, malah ada yang menggelar mereka ‘pujaan hati, bintang rock dan hero negara’ di media.
“Dua bulan lalu, hampir tidak ada yang tahu siapa mereka. Hari ini, mereka telah muncul sebagai wajah hadapan negara dan telah disebut sebagai pujaan hati, bintang rock dan hero negara di media sosial, cetak dan TV,” lapor CGTN.
Dr Noor Hisham, 57, memegang jawatan Ketua Pengarah Kesihatan sejak 2013, dan dianggap ‘wajah yang memberi keyakinan’ oleh rakyat Malaysia kerana memberikan maklumat terkini mengenai COVID-19 di media sosial, berlandaskan rumusan berasaskan fakta dan statistik.

Beliau sentiasa mengemas kini maklumat kepada umum menerusi media sosial sehingga lewat malam, jauh melepasi waktu kerja rasmi.
CGTN berkata penampilan berprofil rendah dan bersahaja menjadi daya tarikan Dr Noor Hisham manakala Bloomfield disifatkan sebagai kakitangan awam paling secocok bagi menyempurnakan tanggungjawab yang diamanahkan.
Dr Noor Hisham, yang berkelulusan ijazah Sarjana dalam Surgeri dan Sarjana Muda Perubatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), menyertai sektor awam sebagai pegawai perubatan pada Ogos 1988.
Beliau kemudian memilih bidang kepakaran dalam surgeri endokrin dan menjalani latihan di pelbagai universiti termasuk di Adelaide dan Sydney, Australia selain menerbitkan artikel dalam jurnal antarabangsa dan tempatan serta menulis kandungan buku teks berhubung surgeri endokrin.

Dr Fauci, 79, pula dilaporkan bekerja hampir 16 hingga 18 jam sehari sejak beberapa minggu lalu sehingga orang ramai mula bimbang bila beliau tidak kelihatan ketika sidang media harian di Rumah Putih.
Bloomfield juga menerima pujian kerana ketelitian dan maklum balas yang jelas ketika bercakap kepada media, dengan ramai penduduk New Zealand mencalonkan beliau bagi anugerah ‘Tokoh Negara’.
Malah, peminat Dr Fauci dan Bloomfield turut memulakan laman sosial khusus di media sosial.
Dr Fauci diberi gelaran coronavirus crush dan national treasure oleh The Atlantic and The New York Times, dengan hampir 15,000 orang menandatangani petisyen a Change.org untuk dicalonkan sebagai People Magazine’s Sexiest Man Alive 2020.
Sementara itu, walaupun peminat Dr Noor Hisham tidak sampai ke tahap itu lagi, rakyat di sini mengambil inisiatif mengucapkan terima kasih dan memuji beliau dengan berkata Malaysia amat bernasib baik mendapat beliau.
Sumber: CGTN