
Dr Amalina Antara Salah Seorang Pasukan Kajian Vaksin COVID-19
Pelatih pakar bedah kelahiran Malaysia yang berpangkalan di Imperial College London, Dr Nur Amalina Che Bakri adalah antara doktor yang terbabit dalam kajian keberkesanan vaksin COVID-19 terhadap manusia sihat di United Kingdom (UK).
Doktor muda berusia 33 tahun itu mengumumkan penglibatannya untuk merekrut sukarelawan dalam ujian percubaan vaksin COVID-19 yang pertama di UK, di twitter rasminya.
“Ujian vaksin UK pertama sudah bermula di NIHR Imperial Clinical Research Facility @imperialcollege yang diketuai Dr Katrina Pollock.
“Saya akan terbabit dalam merekrut sukarelawan yang sihat dan memberi mereka vaksin dalam beberapa minggu akan datang ini,” katanya.
The first of the UK vaccine trials has started at the NIHR Imperial Clinical Research Facility @imperialcollege led by Dr Katrina Pollock. I’m involved in recruiting healthy volunteers and vaccinating them in the next few weeks.
— Dr. Amalina (@DrAmalinaBakri) April 22, 2020
Beliau turut menjelaskan, pengujian di pusat kajian Imperial itu membabitkan satu daripada dua vaksin.
“Usaha yang hebat daripada pasukan Imperial dan kami sangat teruja untuk melihat hasilnya,” katanya.
Dr Nur Amalina turut berkongsi ciapan @ImperialMed berhubung pencarian sukarelawan yang akan terbabit.
Memetik laporan Berita Harian, UK ketika ini menyediakan dana sebanyak 22.5 juta euro (kira-kira RM110 juta) untuk mempercepatkan kajian vaksin COVID-19 yang dilakukan Imperial.
Penyelidikan itu diketuai Profesor Robin Shattock di Bahagian Penyakit Berjangkit dan dana itu akan digunakan untuk penyelidikan satu daripada dua vaksin coronavirus.
Pemberian dana khas itu diumumkan Setiausaha Kesihatan UK Matt Hancock yang turut menjelaskan, penyelidikan oleh Imperial dan Universiti Oxford adalah usaha terbaharu dalam menangani wabak global itu.
Pasukan Profesor Shattock sejak awal Februari lalu sudah menguji vaksin dan penemuan awal terhadap haiwan yang diuji mendapati vaksin itu mampu meneutralkan antibodi bagi menentang SARS-CoV-2.
Ketika ini, pasukan terbabit sedang menghasilkan vaksin seterusnya dan akan menguji sama ada ia akan menghasilkan tindak balas yang serupa terhadap manusia, seterusnya berjaya melindungi daripada COVID-19.

Perkongsian tersebut mendapat reaksi positif daripada netizen yang rata-ratanya mendoakan agar usaha beliau dan pasukannya beroleh kejayaan dalam mencari penawar bagi wabak berbahaya tersebut.
Untuk rekod, Dr Amalina sebelum ini mengharumkan negara apabila dipilih sebagai antara penerima anugerah dari Darzi Academic Clinical Fellowship di Imperial College London.
Dr Amalina yang pernah tersenarai sebagai antara 10 doktor pakar pelatih surgikal terbaik di United Kingdom juga merupakan felo penyelidik payudara PhD di Imperial College London.