Don't Look Up Satira Politik

‘Don’t Look Up’ – Filem Satira Ragam Politik Dan Media Masa Kini

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

‘Don’t Look Up’ – Filem Satira Ragam Politik Dan Media Masa Kini.

Jika diamati, sudah banyak filem memaparkan tentang gambaran hari kiamat atau bencana alam besar yang memusnahkan bumi yang sukar dibayangkan.

Lazimnya, filem bergenre kemusnahan alam ini membawa penonton menghayati dan memahami kuasa alam serta kesannya kepada manusia.

Namun begitu, ada sedikit perbezaan yang dibawa dalam filem Don’t Look Up arahan Adam McKay yang baru sahaja dilancarkan dan berjaya menduduki carta 10 filem/drama teratas di Netflix.

Walaupun Don’t Look Up bergenre kemusnahan dan komedi, ia sebenarnya lebih kepada satira isu-isu besar realiti dunia yang pastinya buatkan perasaan anda bercampur baur dengan keadaan sekeliling.

Filem ini mengisahkan tentang seorang pelajar PhD iaitu Kate Dibiasky (lakonan Jennifer Lawrence) berjaya menemui sebuah komet yang bakal menghempas Bumi. Komet ini mampu untuk membunuh seluruh kehidupan yang ada di Bumi.

Don't Look Up Satira Politik

Kate bersama Dr. Randall Mindy (lakonan Leonardo DiCaprio), seorang ahli astronomi sedaya upaya meyakinkan pentadbiran Rumah Putih untuk bersiap siaga menghadapi segala kemungkinan.

Seperti filem bencana alam yang lain, pastilah ada sisi misi menyelamatkan Bumi. Meskipun begitu, akibat karenah birokrasi, rasuah dan salah guna telah membantutkan misi ini.

Ditambah pula dengan penggunaan media sosial yang memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat masa kini, suara-suara ahli saintis ini tidak diambil peduli akibat pihak atasan yang lebih pentingkan kuasa walaupun bencana semakin hampir.

Filem ini lebih kepada kritikan budaya sosial, politik, manipulasi media dan korporat di Amerika Syarikat tetapi lumrahnya masih sama dengan karenah birokrasi mana-mana negara.

Don't Look Up Satira Politik

“Jalan ceritanya begitu padat menyentuh pelbagai aspek termasuklah perubahan seseorang apabila ditawarkan pangkat dan darjat, bagaimana pengaruh orang kaya terhadap pentadbiran kerajaan serta tiada perasaan empati dan hanya mahukan kuasa.” – Xavier Naxa

* Filem ini bagaimanapun tidak sesuai untuk ditonton semua golongan (Rated R)