KKM Gagal Lindungi Petugas Kesihatan

Doktor Swasta Kritik Ketua Pengarah Kesihatan, Dakwa KKM Gagal Lindungi Barisan Hadapan

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Seorang doktor hospital swasta, Dr Musa Nordin dari Hospital Pakar KPJ Damansara mendakwa pihak berkuasa kesihatan gagal melindungi barisan hadapan perubatan yang memerangi COVID-19, selepas kira-kira 30 kakitangan perubatan dilaporkan dijangkiti virus itu ketika bertugas.

Beliau menggesa Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dan pegawainya turun padang dengan melihat serta merasai kesakitan dan kesengsaraan para petugas penjagaan kesihatan yang tiada PPE asas untuk menjaga pesakit kritikal di ICU.

Dr Musa juga mendakwa Kementerian Kesihatan (KKM) tidak berusaha secukupnya untuk melindungi kakitangannya disebabkan birokrasi yang menghalang pengedaran sut keselamatan peralatan perlindungan peribadi (PPE).

KKM Gagal Lindungi Petugas Kesihatan

Setakat ini, Dr Noor Hisyam berkata seramai 150 kakitangan perubatan antara hampir 4,000 orang yang dijangkiti virus itu di seluruh negara. 30 daripadanya dijangkiti virus itu ketika bertugas, termasuk ketika merawat pesakit ICU.

Dr Noor Hisham menjawab tuduhan itu dengan berkata, jangkitan COVID-19 melibatkan petugas barisan hadapan berlaku di hospital swasta.

Katanya, 80 peratus daripada petugas barisan hadapan mendapat jangkitan wabak itu di luar kawasan hospital, ketika mereka menghadiri majlis seperti perkahwinan dan kemudiannya menyebarkan virus kepada rakan-rakan mereka.

Dalam beberapa kes, katanya, petugas barisan hadapan dijangkiti selepas pesakit gagal mendedahkan mereka mempunyai kontak rapat dengan mereka yang disahkan positif Covid-19.

Sementara itu, Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) berkata, tuduhan Perunding Pediatrik dan Perubatan Hospital Pakar KPJ Damansara tersebut adalah melampau kerana kekurangan PPE untuk kegunaan dokor adalah masalah global.

Kata Presiden I-Medik, Profesor Dr. Azmi Md Nor, perkhidmatan kesihatan di negara-negara maju seperti United Kingdom (UK), Perancis dan Itali juga mengalami kekurangan PPE sehingga mengakibatkan kematian doktor dan jururawat.

Kekurangan PPE juga menjadi lebih kritikal apabila negara besar seperti Amerika Syarikat yang memaksa syarikat pembekal mengeksport topeng muka dari hub di Singapura terus ke negara terbabit.

“Oleh itu, untuk ahli pediatrik hospital KPJ untuk menyalahkan KP KKM dan pasukannya atas masalah ini adalah sangat melampau.

“Kita berhadapan dengan pandemik berskala besar yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Oleh itu cara untuk maju ke hadapan adalah untuk semua orang bersikap empati dan mengelakkan diri daripada menjatuhkan moral barisan hadapan dengan melancarkan permainan menyalahkan orang lain,” tegas Dr. Azmi.

Sumber: FMT, Suara Merdeka